KUALA LUMPUR: Sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus atlet negara menamatkan saingan di podium pada Sukan SEA 2027 bukan lagi sekadar angka, sebaliknya semakin menghampiri realiti berdasarkan perkembangan memberangsangkan yang dipamerkan skuad kebangsaan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, peningkatan ranking dunia selain kejayaan atlet meraih pingat di pentas dunia, Asia serta serantau menjadi petunjuk bahawa persiapan kontinjen negara berada di landasan yang tepat apabila menjadi tuan rumah menjelang temasya dwitahunan itu.
“Kita sudah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus atlet berada di podium pada Sukan SEA 2027.
“Berdasarkan pembentangan yang dibuat, perkembangan semasa amat positif dan kita berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran itu,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa penyediaan atlet ke arah temasya Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Malaysia 2027 di Majlis Sukan Negara, semalam
Mesyuarat berkenaan turut membabitkan semua pemegang taruh utama termasuk MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam perkembangan sama, Jefri berkata pelaksanaan program latihan atlet bagi kategori able dan para berjalan mengikut perancangan, manakala ISN akan terus menyediakan perkhidmatan sokongan secara menyeluruh kepada kontinjen negara sepanjang temasya berlangsung.
Sebagai sebahagian daripada persiapan, MSN turut merancang mewujudkan tiga perkampungan sukan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak bagi menempatkan atlet negara di bawah satu bumbung.
Beliau berkata, pendekatan itu akan memudahkan penyampaian sokongan secara menyeluruh termasuk aspek sains sukan, perubatan dan pemulihan oleh ISN, selain menggunakan konsep hotel seperti yang dilaksanakan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Katanya, Malaysia juga memohon kepada jawatankuasa penganjur supaya kontinjen negara ditempatkan secara berasingan daripada negara lain tanpa membabitkan pertambahan kos yang besar.
Pada masa sama, MSN menubuhkan Panel Penilai dan Audit Prestasi yang akan dipengerusikan Datuk Marina bagi memastikan proses pemantauan program persediaan atlet dilakukan secara bebas dan objektif.
Jefri menjelaskan panel itu tidak mempunyai kuasa menggugurkan atlet daripada program latihan, sebaliknya menilai keberkesanan pelaksanaan oleh persatuan sukan, jurulatih, MSN dan ISN sebelum mengemukakan syor penambahbaikan.
Mengulas mengenai acara dipertandingkan pada Sukan SEA 2027, beliau berkata keputusan berhubung rayuan penambahan acara akan diumumkan Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Tan Sri Norza Zakaria pada 16 Julai ini.
Sementara itu, persiapan atlet negara terus dipacu menerusi program Podium, Pelapis dan Road to Gold (RTG), manakala slogan rasmi kempen Sukan SEA 2027 masih di peringkat penelitian. – UTUSAN








