Warga emas tidak layak memandu?

Warga emas tidak layak memandu?

MOHD YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kematian pemandu berusia 61 tahun ke atas yang tinggi akibat kemalangan jalan raya menimbulkan persoalan sama ada mereka la­yak atau sebaliknya untuk terus memandu.

Menurut data Polis Diraja Malaysia (PDRM), hampir 7,000 ke­­matian akibat kemalangan jalan raya membabitkan peringkat umur itu direkodkan dalam tempoh enam tahun sejak 2019 hingga 2024.

Bagi tempoh berkenaan, se­ra­mai 19,812 pemandu warga emas dalam usia berkenaan, di­laporkan terlibat kemalangan ja­lan raya, sekaligus mengun­dang kebimbangan banyak pi­hak khususnya PDRM.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jumlah kematian terbabit adalah hasil dapatan pihaknya membabitkan pengguna jalan raya berusia 61 tahun ke atas.

Beliau berkata, daripada jum­­lah terbabit, seramai 6,733 peng­guna jalan raya warga emas maut, manakala 2,132 orang parah dan 10,947 lagi mengalami kecederaan ringan.

“Daripada jumlah terbabit, seramai 13,597 pengguna jalan raya adalah mereka yang ber­usia 60 hingga 70 tahun terlibat dengan nahas manakala 6,215 lagi merupakan 71 tahun ke atas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Yusri, walaupun faktor usia bukanlah punca utama kemalangan jalan raya namun ia wajar diberi penekanan dalam usaha JSPT mengurang dan mengatasi isu tersebut di masa hadapan.

“Ia (faktor usia) bukanlah penghalang kepada pemanduan berhemah namun JSPT percaya bahawa keselamatan membabitkan pemandu warga emas perlu dipertimbangkan.

“Selain itu, langkah ini harus diimbangi dengan penilaian kesihatan dan kemampuan memandu individu, bukannya hanya berdasarkan umur semata-mata,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya bukanlah mahu menghalang golongan warga emas untuk terus memandu namun, perlu ada mekanisme dalam menentukan tahap kesihatan seseorang pengguna khususnya yang sudah berusia supaya jalan raya selamat digunakan oleh semua pengguna.

“Kita faham, untuk meng­halang golongan ini daripada memandu bukan perkara mudah kerana budaya di Malaysia ini berbeza. Ada di antara mereka menggunakan kenderaan untuk ke surau, mengambil cucu balik sekolah dan sebagainya.

“Tetapi pada masa sama, tugas JSPT juga adalah untuk memastikan jalan raya sentiasa selamat kepada semua pengguna supaya risiko kemalangan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohd. Yusri berkata, penting untuk semua pihak berkepen­tingan melaksanakan kajian menyeluruh berhubung isu tersebut sebelum sebarang keputusan diambil khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT) yang bertanggungjawab menentukan sebarang dasar berkaitan jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×