KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia (NAPBHR) 2025-2030 bagi memastikan penjagaan hak asasi manusia dalam aktiviti perniagaan dan pelaburan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelan lima tahun itu memberi tumpuan kepada tiga elemen utama iaitu tadbir urus (governance), alam sekitar (environment) dan buruh (labour).
Katanya, pelaksanaan itu dilakukan di bawah kawal selia Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melalui Jawatankuasa Pemandu yang turut dianggotai pelbagai kementerian dan agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Banyak elemen perlu diambil kira. Kita tidak boleh lagi menganggap bahawa perniagaan itu lain, hak asasi lain. Tidak boleh. Sekarang ni, kita pula dalam kepengerusian ASEAN, jadi negara dunia melihat pada Malaysia.
“Pelaksanaan itu akan dibuat oleh Suhakam melalui Jawatankuasa Pemandu yang ada wakil Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Sumber Manusia dan SPRM,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pra-Peluncuran Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia (NAPBHR) 2025-2030, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunus dan Wakil Tetap Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Ed Vrkić.
Dalam perkembangan lain, Azalina berkata, undang-undang berkaitan kecerdasan buatan (AI) perlu dibentuk mengikut cabaran teknologi semasa kerana sistem perundangan sedia ada yang bersifat tradisional dan tidak mampu menangani sepenuhnya risiko baharu.
Katanya, kerjasama antara Bahagian Perhubungan Perundangan dan Kementerian Digital penting bagi memastikan peruntukan undang-undang AI merangkumi aspek bukti, kebenaran, keadilan dan kekuatan dokumen.
“Apabila kita bercakap tentang undang-undang AI, akan ada entiti dan penyediaan baharu. Sistem yang kita ada agak tradisional jadi kita perlu mengubahnya. Ia adalah komputasi yang berbeza.
“Ia tidak mudah untuk mengadakan undang-undang yang ada kerana mahkamah mesti sangat selesa dalam menerima argumen tertentu.
“Jadi, saya katakan bahawa undang-undang tidak akan begitu mudah untuk kita melihat ke dalam AI. Ia adalah hal yang sangat serius,” katanya. – UTUSAN










