PETALING JAYA: Seramai 10 pemimpin muda cemerlang dari seluruh ASEAN telah dianugerahkan Biasiswa ASEAN-Maybank (AMS) yang diadakan bersempena sambutan Hari ASEAN ke-58 di Sekretariat ASEAN di Jakarta baru-baru ini.
Acara tersebut bukan sekadar meneruskan program biasiswa itu yang kini memasuki tahun keempat, malah ia turut mencerminkan keyakinan bersama serantau terhadap potensi berterusan anak muda ASEAN.
Majlis ini dianjurkan bersama oleh Maybank dan Misi Tetap Malaysia ke ASEAN, menghimpunkan tokoh-tokoh terkemuka termasuk Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn; Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Al Bakri Devadason dan Pengerusi Maybank dan Yayasan Maybank, Tan Sri Ir. Zamzamzairani Mohd Isa.
Zamzamzairani berkata, biasiswa ASEAN-Maybank bukan sekadar meraikan kecemerlangan akademik, malah merupakan tindakan bersama untuk maju ke hadapan.
Katanya, ketika ASEAN bersiap sedia merealisasikan aspirasi jangka panjang melalui Wawasan Komuniti ASEAN 2045, harus diingatkan akan ikatan yang menyatukan impian untuk membina sebuah rantau yang aman, berdaya tahan, inklusif dan mampan.”
“Kami berbangga berdiri seiring dengan ASEAN dalam merealisasikan visi tersebut.
“AMS, bersama rangkaian program serantau, mencerminkan keyakinan teguh bahawa pelaburan dalam pendidikan dan kepimpinan belia merupakan antara cara paling berkesan untuk membentuk masa depan yang lebih baik, bukan sahaja bagi individu, malah untuk seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, AMS muncul sebagai inisiatif yang tepat pada masanya dan penuh makna, berteraskan nilai serta berpaksikan rakyat.
Sementara itu Kim Hourn berkata, pendidikan bukan sekadar satu pelaburan kepada individu, malah ia adalah asas utama yang menjadi teras kepada kemakmuran masa depan ASEAN.
“Biasiswa ASEAN-Maybank berfungsi sebagai lebih daripada jambatan kewangan. Ia adalah kuasa transformatif yang membuka potensi insan di seluruh rantau.
“Setiap penerima biasiswa ini bukan sekadar mencerminkan pencapaian peribadi, malah turut memberi kesan berlipat ganda yang akan memberi manfaat kepada keluarga, komuniti, negara dan Komuniti ASEAN untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Sehingga kini, sebanyak 15 biasiswa telah dianugerahkan kepada pelajar yang layak daripada tujuh negara anggota ASEAN.
Dengan lebih 1,400 permohonan diterima daripada 9 negara anggota ASEAN pada tahun ini sahaja, program ini terus mencerminkan keinginan tinggi terhadap peluang serta kelimpahan bakat di rantau ini.
Kumpulan keempat merangkumi penerima biasiswa dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Laos, masing-masing dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta komitmen terhadap impak sosial. – UTUSAN










