KETIKA negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-68, seluruh rakyat diseru untuk menghayati makna sebenar kebebasan yang dicapai.
Namun, sedarkah kita Malaysia kini menjadi antara destinasi utama dunia bagi pelupusan sisa plastik? Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jepun dan beberapa negara Eropah mengeksport sisa plastik ke negara-negara membangun seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Bukankah tanah ini milik kita? Apakah hak negara asing untuk meletakkan sisa mereka di tanah air kita? Mereka mendakwa ia sebagai sisa untuk dikitar semula, akhirnya memenuhi pelabuhan, gudang, kilang dan tanah kita.
Data rasmi menunjukkan Malaysia mengimport lebih 433,000 tan sisa plastik pada 2024, dengan nilai keseluruhan mencecah AS$167 juta (RM800 juta). Dalam masa sama, industri resin kitar semula tempatan menjana nilai pasaran sekitar RM3.4 bilion setahun dan dijangka meningkat lebih RM6 bilion menjelang 2030.
Kontena sarat dengan sisa plastik yang dihantar ke negara kita, kilang-kilang haram diserbu pihak berkuasa dan kontena ditahan di pelabuhan menunggu untuk dihantar semula ke negara asal. Dua kes terkini ini menjadi contoh nyata bagaimana Malaysia terus menjadi destinasi sisa plastik dari luar negara.
Pada 15 Mei lalu, Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang mengarahkan 38 kontena yang mengandungi campuran sisa plastik tercemar dan e-waste di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) dihantar pulang ke negara asal.
Dalam kes lain, sebanyak 354 kontena disyaki mengandungi sisa haram ditahan di Pelabuhan Utara, Klang antara Mac hingga Mei lalu, dengan lebih 100 notis arahan pemulangan dikeluarkan pihak berkuasa.
Ini bukan insiden terpencil. Hampir setiap tahun, laporan demi laporan mendedahkan penahanan kontena sisa dari luar negara di pelabuhan-pelabuhan utama Malaysia. Walaupun banyak kontena diarahkan dihantar pulang, kehadiran berterusan kes-kes sebegini mencerminkan negara kita terus menjadi tapak pelupusan antarabangsa bagi negara maju.
KITAR SEMULA PLASTIK
Kadar sebenar kitar semula plastik global masih berada di bawah 10 peratus, dengan sebahagian besar sisa dibakar, ditanam atau dihantar ke negara lain.
Sisa plastik yang gagal dikitar semula akan hanyut ke sungai dan lautan, lalu merosakkan ekosistem marin dalam diam.
Dianggarkan antara 19 hingga 23 juta tan plastik memasuki sistem air global setiap tahun, termasuk sungai, tasik dan laut, akibat kelemahan pengurusan sisa di darat. Angka ini menyumbang lebih 150 juta tan sisa plastik yang kini berada di lautan sama ada terapung, tenggelam atau terurai menjadi mikroplastik dan nanoplastik.
Daripada jumlah ini, sekitar 5.25 trilion kepingan plastik dikenal pasti terapung di permukaan laut dunia. Tragisnya, Malaysia pula berada dalam senarai lima negara utama yang paling banyak membuang plastik ke lautan, dengan purata 2.29 kilogram sisa plastik per kapita setiap tahun.
Situasi ini mengundang persoalan moral dan maruah. Negara-negara maju mempunyai teknologi dan dana untuk mengurus sisa mereka sendiri, tetapi memilih untuk mencuci tangan dengan mengeksport beban itu ke negara seperti Malaysia. Mereka tidak mahu membina kilang kitar semula di tanah mereka kerana peraturan alam sekitar yang ketat dan tentangan masyarakat.
Sebaliknya, mereka mengambil jalan mudah dengan menghantar kontena-kontena penuh plastik ke pelabuhan Asia Tenggara, termasuk Malaysia menjadi antara sasaran utama. Kita wajar membina kefahaman krisis plastik dalam kalangan masyarakat untuk memberhentikan penjajahan plastik ini.
Di peringkat penguatkuasaan, kita wajar mengekang aktiviti rakus mengaut keuntungan dengan mengimport sisa plastik tanpa mengambil kira akibat jangka panjang terhadap alam sekitar dan kesihatan rakyat.
Banyak kilang kitar semula wujud tanpa lesen sah, beroperasi dalam keadaan tidak terkawal, malah ada yang membuang sisa lebihan ke kawasan luar bandar. Bau busuk, pencemaran air bawah tanah dan risiko kesihatan kini menjadi beban harian kepada penduduk tempatan atas nama kemajuan ekonomi.
Persoalannya kini, merdekakah kita? Adakah kita benar-benar bebas jika masih bergantung kepada negara luar untuk bahan mentah industri, walaupun ia dalam bentuk sisa?
Tiada keraguan tanah air ini milik kita. Kita ada hak mengekang orang luar membuang sisa mereka di sini. Apa makna kemerdekaan jika kita mewariskan kepada generasi akan datang tanah yang tercemar, udara yang beracun, dan laut yang penuh mikroplastik?
Sudah tiba masanya Malaysia mengambil pendirian yang tegas.
Pertama, kita mesti menguatkuasakan pengharaman import sisa plastik dari negara-negara yang tidak meratifikasi Konvensyen Basel iaitu perjanjian antarabangsa yang mengawal pergerakan sisa berbahaya merentas sempadan.
Pindaan Plastics Basel yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2021 mewajibkan semua negara pihak kepada Konvensyen Basel untuk mengenakan proses Prior Informed Consent (PIC) ke atas kebanyakan jenis sisa plastik yang tercemar atau campuran.
Hanya plastik yang bersih dan terdiri daripada satu polimer dikecualikan daripada PIC.
Kedua, kita perlu melaksanakan dasar pengasingan sisa di punca secara menyeluruh. Rakyat mesti dididik dan diwajibkan untuk mengasingkan sisa plastik dari sisa organik dan bahan lain. Ini akan menjadikan sisa domestik lebih mudah untuk dikitar semula dan mengurangkan kebergantungan kita kepada sisa import.
Ketiga, kerajaan perlu melabur dalam infrastruktur kitar semula tempatan, termasuk teknologi dan pengurusan sisa moden. Akhir sekali, kita perlu melaksanakan dasar Extended Producer Responsibility (EPR) yang mewajibkan pengeluar menanggung kos pelupusan dan kitar semula produk mereka.
Hari Kemerdekaan adalah masa untuk kita merenung semula erti kebebasan. Bukan sekadar kebebasan politik, tetapi juga kebebasan daripada kebergantungan yang menjadikan kita mangsa dalam sistem ekonomi global yang tidak adil.
Kita tidak boleh membenarkan Malaysia terus menjadi tong sampah dunia. Kita mesti berani menolak naratif bahawa sisa plastik ialah satu bentuk pelaburan ekonomi. Sebaliknya, ia adalah amaran bahawa kita sedang menggadaikan masa depan tanah air ini.
Kemerdekaan yang sebenar ialah apabila kita bebas menentukan masa depan kita sendiri. Tanah yang subur, air yang bersih dan ekosistem lestari yang bakal kita wariskan ini adalah masa depan kita.
Merdekanya kita dengan bebas menentukan nasib alam sekeliling kita sendiri, tanpa tunduk kepada tekanan kuasa ekonomi dunia dan tanpa mengorbankan hak generasi akan datang. Hanya apabila kita berani bertindak, barulah kita benar-benar merdeka. – UTUSAN
PENULIS ialah Profesor Madya di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).










