SAYA ingin merujuk laporan Utusan Malaysia pada 30 Julai bertajuk “ Didik ahli keluarga jimat elektrik”.
Dengan ini, saya juga ingin sarankan berapa tip untuk menjimatkan elektrik sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan isi rumah. Jimatlah elektrik seberapa yang boleh.
Padam semua lampu bilik atau ruang sekiranya tiada sesiapa di situ. Sebagai contoh, jika anda sekeluarga berehat di ruang tamu, pastikan lampu bilik tidur, ruang makan atau dapur ditutup.
Tutup semua suis peralatan elektrik dan elektronik jika tidak digunakan. Sebaik-baiknya jangan dibiarkan dalam mod standby.
Sebaik-baiknya guna kipas angin dan elak penggunaan penyaman udara. Gunakan penyaman udara jika cuaca terlalu panas.
Guna satu mentol lampu besar jika memerlukan lebih pencahayaan berbanding mentol bersaiz kecil tetapi banyak bilangannya.
Didik ahli keluarga menutup suis lampu, kipas atau alatan lain setelah meninggalkan bilik atau ruang.
Pasang lampu di luar rumah jika perlu sahaja seperti menunggu kedatangan tetamu, menyambut perayaan atau mengadakan majlis atau kenduri.
Elak guna mesin basuh melebihi muatan atau muatan penuh. Sebaiknya muatan tidak terlalu penuh. Selain hasil cucian kurang bersih, ia juga mengakibatkan penggunaan tenaga elektrik berlebihan.
Pastikan pintu peti ais ditutup rapat setelah digunakan.
Rajin bersihkan habuk atau debu yang terdapat di peti sejuk.
Peti sejuk beku yang penuh mengurangkan penggunaan tenaga. Jadi, sekiranya peti kosong, isikan kiub ais atau bekas ais supaya tenaga tidak dibuang begitu sahaja. – UTUSAN
SINGH BS
Kajang, Selangor










