PETALING JAYA: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), anak syarikat Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), memperkasa 5,735 usahawan dalam separuh pertama tahun ini dengan sokongan Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) selaku pelaksana utama.
Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, jumlah itu melonjak 158 peratus berbanding 2,225 usahawan dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, antara program utama melangkaui pembiayaan yang diamanahkan kepada SME Bank ialah Program Maju Usahawan Madani, bagi memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (pmks) melalui pembangunan kapasiti bersasar.
“Bermula Januari 2025 hingga Mac 2026, program ini disasarkan membantu 3,000 usahawan mikro. Sehingga Jun lalu, seramai 1,632 usahawan menerima manfaat, termasuk PMKS daripada komuniti bumiputera, belia, luar bandar, B40, asnaf, warga emas dan golongan kurang upaya.
“Di peringkat serantau, CEDAR dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi pmks dalam peralihan hijau, satu pengiktirafan penting di bawah keutamaan ekonomi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohammad Hardee, SME Bank turut memberi tumpuan kepada sektor strategik masa depan termasuk pembangunan bumiputera, teknologi dan inovasi, adaptasi digital, inisiatif berdaya tahan iklim, industri halal dan pelancongan.
“Sejak 2023, Program Pembangunan Keusahawanan Halal telah memberi sokongan kepada lebih 400 peserta, manakala Program Pembangunan Kapasiti Vendor melibatkan 109 vendor dengan kelulusan insentif RM15.87 juta.
“Hasilnya, 28 peratus daripada vendor tersebut mencatat sekurang-kurangnya lima peratus peningkatan hasil dengan jumlah pendapatan mencecah RM1.23 bilion pada 2024,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi memperluas pasaran antarabangsa, Program Eksport Perniagaan yang dilaksanakan dengan pembiayaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berjaya menjana jualan eksport bernilai RM191.93 juta.
“Ia melibatkan penyertaan 98 syarikat yang menembusi pasaran utama seperti Asia Tenggara, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
“Program SME Bank XCESS pula terus menjadi platform padanan perniagaan utama, dengan penganjuran pada 2024 menjana jualan sekitar RM178 juta melibatkan 450 peserta termasuk 24 pembeli antarabangsa dari 12 negara.
“Selaras momentum positif itu, XCESS 2025 akan berlangsung pada 25 September ini di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur,” katanya.
Selain itu, katanya, program iTEKAD ISHRAF yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan usahawan asnaf berjaya menjana lebih RM5 juta dana ‘crowd-in’, meningkatkan jualan peserta sebanyak 126 peratus kepada RM19.25 juta.
“Ini mewujudkan 182 peluang pekerjaan, membantu 314 usahawan mengadaptasi teknologi baharu dan menghasilkan 224 rangkaian perniagaan.
“SME Bank turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan semula Pusat Dataraya Usahawan di bawah KUSKOP, sejajar Dasar Keusahawanan Nasional 2030 sebagai platform strategik untuk pengukuhan intervensi berasaskan data,” jelasnya.
Bagi hala tuju seterusnya, Mohammad Hardee berkata, SME Bank akan terus memacu agenda PKMS dengan lebih RM1 bilion inisiatif strategik di bawah Belanjawan 2025.
“Ia merangkumi pembiayaan dan sokongan pembangunan kapasiti dalam sektor seperti keusahawanan Bumiputera, teknologi dan inovasi, adaptasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), ekonomi halal dan pelancongan,” katanya. – UTUSAN










