Sistem penyejukan pusat data di Johor guna air kumbahan terawat

Sistem penyejukan pusat data di Johor guna air kumbahan terawat

FADILLAH Yusof bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bergambar sempena Majlis Pengiktirafan Penggunaan Alternatif Bagi Industri Data di Johor di Hotel Doubletree, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dengan kerjasama kerajaan negeri melakar sejarah baharu melaksanakan inisiatif air dipulih guna khusus bagi sektor pusat data bagi tujuan sistem penyejukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Indah Water Konsortium (IWK) akan membekalkan sehingga 12 juta liter sehari air kumbahan terawat kepada loji air pulih guna yang menyokong operasi dua pusat data utama di Johor.

Beliau berkata, ia mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan kestabilan bekalan air, di samping menggalakkan amalan industri teknologi yang lebih mampan dan berdaya tahan.

“IWK mengeluarkan 7,371 juta liter sehari (JLH) efluen terawat daripada loji-loji rawatan kumbahan di seluruh negara dan 1,067JLH di Johor, yang mana ia berpotensi besar untuk diguna semula bagi tujuan sumber air alternatif.

“Ini akan dapat mengoptimumkan sumber air negara, sekali gus mengurangkan beban permintaan terhadap air minuman terawat.

“Saya difahamkan, IWK mampu membekalkan sebanyak 12JLH efluen terawat yang akan diproses melalui loji air pulih guna sebelum disalurkan kepada dua pusat data iaitu Bridge Data Centers (BDC) dan Computility Technology Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Penggunaan Alternatif Bagi Industri Data di Johor di Hotel Doubletree di sini, hari ini. 

Fadillah berkata, langkah untuk mempelbagaikan sumber air alternatif melalui pendekatan mampan bukan sekadar keperluan operasi, malah merupakan satu tanggungjawab bersama untuk melindungi sumber air negara dan menyokong pertumbuhan industri untuk berdaya tahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×