DHAKA: Ketegangan semakin memuncak di India apabila ribuan penduduk yang kebanyakannya penutur bahasa Benggali beragama Islam, menjadi sasaran dalam operasi besar-besaran yang didakwa oleh kerajaan sebagai langkah keselamatan negara.
Namun, bagi kumpulan hak asasi manusia, ini bukan sekadar operasi tetapi ia adalah kempen ketakutan yang menyasarkan identiti dan bahasa.
Sejak serangan pengganas di Kashmir pada April lalu, pihak berkuasa India mempertingkatkan tindakan terhadap pendatang tanpa izin.
Namun, operasi itu menyasarkan masyarakat Muslim Bengali yang tinggal jauh dari sempadan Pakistan, negara yang dipersalahkan atas serangan tersebut.
Penduduk yang berasal dari negeri Benggala Barat dan sudah menetap berdekad lamanya di kota-kota besar kini berdepan risiko ditahan, dihantar pulang atau diusir ke Bangladesh, walaupun ramai daripada mereka merupakan rakyat India.
Sebahagian besar daripada yang ditahan tinggal secara sah, malah memiliki dokumen pengenalan yang sah.
Namun, pemeriksaan ketat dan serbuan mengejut di kawasan padat dengan penduduk Bengali, termasuk di Gurugram bandar satelit berhampiran New Delhi menjadikan mereka hidup dalam ketakutan.
“Walaupun ada dokumen lengkap, kami tetap diperiksa, ditahan, dan dihina. Kami hanya mahu bekerja dan hidup seperti orang lain, tetapi kini kami lari seperti pelarian di tanah sendiri,” kata seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan.
Polis Gurugram mengesahkan antara 200 hingga 250 orang ditahan dalam operasi tersebut, dengan hanya 10 orang disahkan sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh.











