PETALING JAYA: Dua premis hiburan di ibu negara diserbu Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur kerana beroperasi tanpa lesen sah dan menggaji warga asing tanpa permit.
Menerusi serbuan pukul 1.21 pagi di Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin itu tiga individu telah ditahan.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, dalam serbuan, seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis dan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh berusia 32 tahun.
Menurutnya, serbuan dijalankan susulan premis terbabit menggaji pekerja warga asing tanpa permit yang sah dan salah guna permit.
“Siasatan mendapati lelaki tempatan sudah setahun bekerja dengan bayaran gaji RM3,400 manakala pekerja warga Bangladesh menerima upah RM2,000 sebulan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1969/69 dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1956/69,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Usuf berkata, dalam serbuan kedua pula, dijalankan di sebuah premis hiburan lain di kawasan sama pukul 1.24 pagi sebelum seorang lelaki berusia 24 tahun bekerja sebagai penjaga premis ditahan.
“Siasatan mendapati premis itu menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan yang sah.
“Susulan itu, peralatan pusat hiburan, lima botol pelbagai jenama dan resit perniagaan dirampas,” jelasnya.
Beliau berkata, siasatan mendapati premis itu beroperasi dari pukul 9 malam hingga 2 pagi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1953 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.
“Kesemua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










