Jalan kaki 10km setiap hari kutip sampah tepi pantai

Jalan kaki 10km setiap hari kutip sampah tepi pantai

CHE YAK @ Embong Ngah menjadikan aktiviti berjalan menyusuri pantai sambil mengutip sampah sebagai riadah di Pantai Rhu Muda dan sekitarnya ketika ditemui di Marang semalam. - MINGGUAN /NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Meskipun usianya sudah menginjak 77 tahun, seorang bekas komando 69 (VAT 69), masih gigih berjalan kaki sejauh lebih 10 kilometer menyusuri pantai sambil mengutip sampah hampir setiap hari sebagai riadah.

Che Yak@ Embong Ngah, 77, yang tinggal di Kampung Rhu Muda di sini berkata, lazimnya dia meluangkan masa sekitar tiga hingga empat jam berada di tepi pantai bermula seawal 7 pagi bagi melakukan aktiviti itu seorang diri.

Katanya yang merupakan antara 30 individu trup nukleus pertama Komando 69, menjadi satu kepuasan baginya apabila dapat berjalan kaki bagi jarak jauh apatah lagi ia sudah menjadi rutin serta sebati dalam dirinya.

“Hampir setiap hari saya berjalan kaki dari rumah menuju ke Pantai Rhu Muda dan berjalan menyusuri pantai, ada ketikanya sehingga ke Pantai Kelulut serta Pantai Kekabu.

“Sejak mengalami masalah sendi lutut lebih kurang lima tahun lalu, jarak berjalan tidaklah lagi sejauh dulu cuma lebih kurang 10 kilometer. Sambil riadah, saya kutiplah sampah seperti bekas dan botol plastik kerana seronok lihat pantai bersih.

“Pernah ada yang anggap saya kurang waras apabila dilihat berjalan kaki seorang diri dengan pakaian lusuh sambil tarik kayu atau pegang guni berisi sampah. Saya tidak ambil hati dan teruskan aktiviti riadah seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Pantai Rhu Muda, Kampung Rhu Muda.

Dia yang tinggal bersama isteri, Siti Rohana Nordin,57, juga gemar menanam pokok bunga sebagai hobi selain turut memelihara beberapa ekor kucing di rumah.

Sementara itu, ketika ber­kong­si kenangan sewaktu bertugas, Che Yak berkata, pe­ngalaman bertempur dengan pengganas komunis di Sarawak sekitar tahun 1970 hingga 1971 antara memori tidak dapat dilupakan.

Katanya, kubu tempat dia serta rakan seperjuangan diserang hendap pada lewat malam lalu berlakunya tembak-me­nembak hingga ke awal pagi dan mereka terselamat.

“Saya bermula sebagai anggota Pasukan Polis Hutan sekitar Jun 1969 di Hulu Kinta, Perak dan kemudian pada Oktober tahun sama dipilih dalam sesi latihan Komando 69 serta menjalani latihan asas komando.

“Kami dilatih sepasukan jurulatih dari United Kingdom Special Air Service Regiment (SAS) dan daripada ramai-ramai yang jalani latihan hanya 30 orang sahaja termasuk saya berjaya sehingga ke akhir sekali gus menjadi ‘batch’ atau trup nukleus pertama Komando 69.

“Saya menamatkan perkhidmatan sebagai Polis Diraja Malaysia pada 1 Februari 2004 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu. Sekarang masing-masing berusia, ada dalam kalangan rakan seperjuangan telah pun meninggal dunia,” katanya.

Antara penganugerahan diterimanya ialah Pingat Pangkuan Negara serta (P.P.N.), Pingat Darjah Bentara Pasukan Polis (BPP) serta Pingat Jasa Pahlawan Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×