Bot tradisional Melayu masih gagah berlayar

‘Tangan emas’ bina bot Melayu

YUSOF Nawi atau lebih dikenali sebagai Pok Usop lazimnya mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menyiapkan sebuah bot nelayan laut yang ditempah pelanggannya di Kampung Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu. – MINGGUAN/PUTRA HAIRYY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Arus ke­modenan industri perkapalan yang sarat dengan teknologi canggih dan bahan moden seperti gentian kaca serta keluli tahan karat tidak menghalang sekumpulan tukang bot di negeri ini teguh memelihara warisan ratusan tahun dengan menghasilkan bot kayu sepenuhnya.

Perkara ini terbukti apabila masih kedengaran bunyi ketukan pahat serta geseran gergaji dari bengkel kayu usang di sebalik deruan ombak Laut China Selatan dan bayu yang menyapa perkampungan nelayan di pesisir Terengganu, menandakan seni membina bot tradisional Melayu belum pupus.

Bot kayu buatan Terengganu bukan sekadar alat pengangkutan laut, namun ia adalah hasil kemahiran tangan diwarisi turun-temurun dan lambang ketekunan serta bukti kepada kehalusan pertukangan Melayu yang tidak bergantung kepada pelan cetak biru atau komputer, tetapi bergantung kepada mata kasar dan pengalaman.

Walaupun jumlah tukang bot semakin berkurangan dan cabaran moden kian mencengkam, semangat mempertahankan warisan ini belum padam apabila bengkel kecil Kampung Batin, Bukit Tumbuh, Pulau Duyong dan Seberang Takir di sini membuktikan tradisi ini masih menyala.

Industri pembuatan bot tradisional di negeri ini dipercayai bermula sejak abad ke-18 iaitu ketika Terengganu menjadi pusat perdagangan dan pelabuhan penting di Pantai Timur. 

Pulau Duyong muncul sebagai mercu tanda pertukangan bot Melayu dengan tukang bot tempatan menghasilkan bot untuk pedagang dan nelayan dari seluruh rantau termasuk Kepulauan Riau, Selatan Thailand hingga ke pesisir Borneo.

Uniknya, tukang bot zaman dahulu tidak menggunakan pelan bertulis atau ukuran moden, sebaliknya hanya bergantung kepada ukuran mata, garis tangan dan ‘ilmu rasa’  iaitu satu kemahiran luar biasa tidak diajar di sekolah sekali gus membuatkan kecemerlangan dalam seni pertukangan ini membuatkan mereka digelar si ‘Tangan Emas’.

Menceritakan lebih lanjut, tukang bot berpengalaman lebih 30 tahun di Kampung Batin, Mohd. Roslan Zainuddin, 60, atau lebih dikenali sebagai Pok Ya berkata, proses membuat bot memerlukan ketelitian yang mendalam.

“Untuk sebuah bot bersaiz 60 kaki, sekurang-kurangnya 30 tan metrik kayu cengal diperlukan. Kos kayu sahaja sekitar RM400,000.

“Pembinaan dimulakan dengan pemasangan lunas (tulang belakang bot) diikuti rangka, papan badan, dek dan akhirnya bahagian dalaman. Semua proses dilakukan secara manual, tanpa bantuan mesin moden,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Lebih menarik, sambungan antara papan dibuat menggunakan kulit kayu gelam dan bukan gam atau skru. 

Menurut Pok Ya, teknik itu bukan sahaja kukuh malah lebih mesra alam.

“Kalau susunan papan tidak betul, bot boleh senget apabila masuk air. Ini masa paling kritikal dalam proses pembinaan,” katanya.

Menurut Pok Ya, proses membina bot tradisional bukan kerja sehari dua, sebaliknya ia menuntut kesabaran, ketelitian dan kecekapan yang tinggi sehingga memakan masa antara setahun hingga dua tahun bergantung jumlah tenaga digunakan.

Katanya, kayu cengal sering dipilih kerana kualiti dan daya tahan terhadap air laut serta ketahanannya yang boleh mencecah puluhan tahun, manakala keistimewaan lain bot tradisional Terengganu adalah penggunaan pasak menggantikan paku yang mudah berkarat.

Walaupun harga bot itu lebih mahal berbanding bot moden, ia sentiasa mempunyai permintaan terutama ‘tauke’ nelayan laut dalam ekoran kualiti bot yang tahan lama dan lebih kukuh selain keistimewaan serta keunikannya yang tersendiri.

SEBUAH BOT, SATU TAHUN SETENGAH 

Sebuah bot nelayan laut dalam bersaiz besar mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan untuk disiapkan, merangkumi reka bentuknya termasuk kabin, ruang simpanan ais, tempat enjin dan dek utama.

“Bahagian luar bot kemudian diketam halus sebelum disapu dengan cat marin khas sebagai lapisan pelindung,” kata Pok Ya.

Pada akhirnya, ujian terapung turut dijalankan sebelum bot diserahkan kepada pemilik bagi memastikan tiada kebocoran.

Kepakaran Pok Ya turut diiktiraf pihak luar apabila pernah diberi kepercayaan menyediakan reka bentuk dalaman kapal tentera laut termasuk KD Terengganu, KD Selangor dan KD Kelantan beberapa tahun lalu.

SI TUKANG SOLO DARI BUKIT TUMBUH

Seorang lagi tukang bot tersohor ialah Yusof Nawi, 54, atau lebih dikenali sebagai Pok Usop dari Kampung Bukit Tumbuh, apabila lebih istimewa dia membina bot seorang diri.

“Saya belajar membuat bot dari arwah bapa sejak umur 17 tahun. Sekarang memang susah hendak cari pelapis. Kerja ni berat dan tak ‘glamour’,” katanya.

Pok Usop kini hampir menyiapkan sebuah bot nelayan yang dianggarkan bernilai RM600,000, selepas hampir dua tahun bekerja bersendirian.

Katanya, masa yang lama untuk menyiapkan sebuah bot khususnya bersaiz besar kerana ia memerlukan ketelitian tinggi.

Sebelum ini, Pok Usop pernah menerima bantuan bahan mentah bernilai RM50,000 daripada Lembaga Perkayuan Malaysia (MTIB) pada 2018 dan sebuah mesin pemotong pada tahun 2020.

PELAPIS MUDA MULA TUNJUK MINAT

Di tengah-tengah cabaran mencari pelapis muda, muncul Mohd. Syazwan Mohd. Shaiful, 28, dari Kampung Batin yang mula bekerja di bengkel membuat bot sebaik sahaja tamat sekolah menengah.

“Dulu saya tidak tahu apa-apa tentang membuat bot. Tetapi lepas tengok setiap hari, mula minat. Sekarang dah terlibat dalam tiga projek membuat bot. Pengalaman bekerja dengan tukang ‘otai’ seperti Pok Ya banyak menambah ilmu membuat bot,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai rakan seusianya berani mencuba kerana bukan sahaja menawarkan pendapatan lumayan, malah satu kemahiran bernilai tinggi.

CABARAN BAKAT

Pok Ya berkata, generasi muda kurang berminat kerana kerja pertukangan ini dianggap kurang menarik berbanding bekerja di pejabat walaupun permintaan bot masih wujud.

“Malah harga bahan mentah semakin meningkat termasuk kayu cengal semakin sukar diperoleh walaupun terdapat pilihan lain, namun tidak setanding dari segi ketahanan,” katanya.

WARISAN YANG PERLU DIPERTAHAN

Penolong Kurator Maritim Lembaga Muzium Terengganu, Muhammad Shadiy Khalaf Ahmad berkata, tukang bot tradisional masih aktif masih ada di beberapa lokasi seperti Pulau Duyong, Kampung Batin, Seberang Takir, Bukit Tumbuh dan Pulau Rusa.

“Kebanyakan tukang ini adalah ‘otai’ berpengalaman lebih 30 tahun. Mereka ini aset negeri yang tak ternilai. Malah industri pembuatan bot tradisional boleh menjadi tarikan pelancong untuk melihat sendiri cara sesebuah bot dihasilkan. Ia adalah satu warisan yang perlu dipertahan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×