Dua rakyat Malaysia cedera di Bangkok terima rawatan

Dua rakyat Malaysia cedera di Bangkok terima rawatan

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua warganegara Malaysia yang cedera dalam insiden di Ratchadamri, Bangkok kelmarin, sedang menerima rawatan di dua hospital berasingan di ibu negara Thailand itu.

Menurut Wisma Putra, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah berhubung rapat dengan pasukan perubatan yang merawat mangsa serta menguruskan perjalanan ahli keluarga terdekat mereka yang dijangka tiba di Bangkok hari ini.

“Pegawai konsular dari kedutaan juga telah melawat mangsa bagi memantau keadaan mereka dan memastikan kedua-dua mangsa serta keluarga menerima sokongan dan bantuan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, dua pelancong Malaysia cedera parah selepas dibakar oleh seorang penganggur lelaki, malam Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, suspek tiba-tiba menuang cecair pencair dari arah belakang ke atas seorang lelaki dikenali sebagai Ong, 26, dan seorang wanita, Gan, 27, yang ketika itu sedang duduk di tangga berhampiran sebuah pusat beli-belah.

Menurut Wisma Putra, pihaknya dimaklumkan bahawa pihak berkuasa Thailand kini menjalankan siasatan penuh insiden berkenaan. 

Katanya, Malaysia memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa Thailand untuk menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh, serta bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya jika diperlukan. 

“Kementerian Luar menegaskan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara serta menghulurkan bantuan sewajarnya pada masa memerlukan.

“Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia terdekat atau Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×