MEDIA sosial menjadi medium penyampaian maklumat yang amat meluas digunakan oleh masyarakat di Malaysia.
Dalam aspek pembelajaran, media sosial memainkan peranan penting terutama dalam pencarian maklumat dan bahan rujukan.
Pelajar juga boleh mendapatkan jawapan serta mengumpulkan idea untuk menyiapkan tugasan dengan lebih cepat dan efisien. Malah, sesetengah subjek menggalakkan pelajar menggunakan media sosial untuk menghantar tugasan berbentuk video dan gambar, menjadikannya alat yang relevan dalam sistem pembelajaran.
Walau bagaimanapun, media sosial juga mempunyai sisi negatif yang perlu diberi perhatian. Terdapat segelintir pengguna menyalahgunakan platform ini dengan menghasilkan kandungan kurang sopan atau tidak beretika, seperti video tarian yang tidak sesuai serta penggunaan bahasa kasar. Perbuatan ini bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi pelajar, malah mencemarkan imej institusi pendidikan.
Selain itu, penggunaan media sosial secara berlebihan boleh menyebabkan hilang fokus terhadap pelajaran, kurang motivasi dan prestasi akademik yang merosot. Pelajar yang terlalu asyik melayari media sosial berisiko mudah bosan dan kurang serius dalam menuntut ilmu.
Untuk memastikan media sosial digunakan secara positif, beberapa langkah perlu diambil. Antaranya, pelajar harus menetapkan had masa penggunaan media sosial supaya tidak mengganggu waktu belajar dan rehat.
Disiplin diri penting bagi mengelakkan ketagihan dan penyalahgunaan. Pihak universiti pula boleh menganjurkan program kesedaran digital seperti bengkel etika penggunaan media sosial dan keselamatan dalam talian. Ini bertujuan mendidik pelajar supaya lebih bertanggungjawab dan beretika ketika berkongsi maklumat.
Ibu bapa perlu memantau penggunaan media sosial anak-anak dan memberi bimbingan agar teknologi digunakan dengan bijak dan berfaedah.-UTUSAN
NUR FATIHAH MUHAMMAD IHSAN LIM & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM)










