1,394 jururawat, 705 doktor letak jawatan

1,394 jururawat, 705 doktor letak jawatan

Hanya 22 daripada 1,000 doktor yang ditawarkan jawatan tetap memilih Sabah dan Sarawak untuk bertugas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 705 pegawai perubatan dan 1,394 jururawat berpengalaman meletak jawatan dalam tempoh tiga tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu membabitkan mereka yang telah berkhidmat melebihi lima tahun di hospital dan fasiliti kesihatan awam dari 2022 hingga 2024.

“Antara alasan utama peletakan jawatan ialah keinginan untuk berkhidmat di sektor swasta atau badan berkanun, selain faktor peribadi dan masalah kesihatan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen semalam.

Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang meminta perincian jumlah dan trend kehilangan tenaga kerja berpengalaman dalam kalangan doktor dan jururawat sektor awam serta usaha yang diambil kementerian untuk mengatasinya.

Menurutnya, pada 2022, seramai 272 pegawai perubatan dan 304 jururawat meletakkan jawatan dan jumlah itu meningkat kepada 229 doktor dan 521 jururawat pada 2023.

Bagi tahun 2024 pula katanya, seramai 204 doktor dan 569 jururawat telah berbuat demikian setakat ini.

Dzulkefly berkata, bagi menangani kekosongan dan menampung keperluan semasa, Kementerian Kesihatan melantik seramai 12,761 pegawai perubatan dan 5,396 jururawat baharu sepanjang tempoh tersebut.

Pecahan lantikan pegawai perubatan adalah 3,215 orang pada 2022; 5,489 orang (2023) dan 4,057 orang (2024). Manakala jururawat baharu pula berjumlah 1,722 orang (2022); 2,600 orang (2023) dan 1,074 orang (2024).

Dzulkefly berkata, kementerian kekal komited memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan negara menerusi peningkatan kemahiran, kesiapsiagaan serta mobiliti tenaga kerja secara berterusan.

Kata beliau, antara langkah sedang diambil adalah pengecualian lantikan kontrak interim jururawat oleh agensi pusat bagi tahun 2023 serta 2024 dan bagi 2025, lantikan tetap dalam tempoh interim juga boleh dilaksanakan.

Katanya, kerajaan juga telah melaksanakan pengurangan waktu bekerja syif kepada 42 jam seminggu bagi pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan jururawat di wad (daripada 45 jam).

“Pemberian pelbagai elaun dan insentif khusus seperti Elaun Lokum, Bayaran Insentif Pakar, Elaun Pos Basik dan Insentif Lokasi Mengikut Tahap Kesusahan serta Bayaran Insentif Pra-warta kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE).

“Selain itu, peluang kenaikan pangkat secara time-based dari Gred UD9 ke Gred UD14 dalam tempoh 9 hingga 12 tahun bagi pegawai perubatan, dan TBK 1 & TBK 2 bagi paramedik setelah genap 13 tahun perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, usaha menambah baik insentif dan faedah lain akan diteruskan bagi memastikan tenaga kerja kesihatan kekal berkhidmat dalam sistem awam demi memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik khususnya di fasiliti sedia ada, baharu dan dinaik taraf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×