PARLIMEN: Hamzah cadang tubuh REENAS urus sumber REE

PARLIMEN: Hamzah cadang tubuh REENAS urus sumber REE

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu entiti nasional dicadang ditubuhkan bagi mengurus dan memanfaatkan sepenuhnya potensi sumber unsur nadir bumi (REE) yang dimiliki oleh beberapa negeri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, entiti tersebut yang dicadangkan dinamakan sebagai Rare Earth National Corporation (REENAS) yang boleh mengambil model Petronas sebagai inspirasi.

“Konsepnya seperti Petronas, tetapi kali ini untuk REE. Sebuah badan besar milik penuh kerajaan Persekutuan, tetapi bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai sumber REE,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini.

Semasa ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Hamzah mengusulkan cadangan penubuhan REENAS bagi memastikan kekayaan baharu negara itu dikendalikan secara telus dan berstrategi.

Hamzah berkata, penubuhan REENAS bukan sahaja mampu mempercepatkan pengeluaran sumber berkenaan, tetapi memberi manfaat langsung kepada kerajaan negeri yang terlibat serta membuka ruang pelaburan lebih meluas.

“Kita tahu tiga negeri dalam SG4 iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah mempunyai kedudukan sumber REE yang sangat besar.

“Kalau kita boleh duduk bersama dan bekerjasama, ia akan membawa keuntungan bukan sahaja kepada negara tetapi juga negeri-negeri tersebut,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar struktur koperasi atau korporat diwujudkan secara adil, dengan syarikat induk dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan, manakala kerjasama operasi diuruskan bersama kerajaan negeri masing-masing.

“Contohnya, jika di Kelantan, REENAS bekerjasama dengan entiti negeri Kelantan. Begitu juga di Terengganu dan Kedah. Ini adalah pendekatan yang adil dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mendapat manfaat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×