KV Kuala Klawang, SMK DUMA johan bola sepak MSSD Jelebu

KV Kuala Klawang, SMK DUMA johan bola sepak MSSD Jelebu

Pasukan bola sepak KVKK A dan SMK DUMA muncul juara dalam kejohanan bola sepak MSSD Jelebu menerusi kategori lelaki bawah 18 tahun dan 15 tahun selepas menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Daerah Jelebu, semalam.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD.GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Pasukan Kolej Vokasional (KV) Kuala Klawang A dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Musa Al-Haj (SMK DUMA) muncul juara kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jelebu bagi kategori lelaki bawah 18 tahun dan 15 tahun semalam.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Daerah Jelebu di sini, KVKK A mempertahankan kejuaraan bagi kategori bawah 18 tahun selepas menewaskan pasukan SMK DUMA dengan keputusan 1-0.

Ketua jurulatih pasukan KVKK, Mohd. Faizal Zabidi, 40, berkata, kemenangan itu adalah hasil latihan konsisten selama sebulan sebelum kejohanan berlangsung.

“Pasukan kami memang menyasarkan untuk menang dan latihan dibuat setiap hari dari pukul 5 petang sehingga pukul 7 petang.

“Saya sangat berpuas hati dengan komitmen pemain, walaupun kebanyakan mereka adalah pemain baharu untuk pasukan kami,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Kekecewaan pasukan SMK DUMA itu bagaimanapun diceriakan oleh pasukan bawah 15 tahun mereka yang menewaskan pasukan SMK Undang Jelebu dengan keputusan 1-0 dalam perlawanan akhir kategori itu.

Menurut jurulatihnya, Muhammad Rabbani Tuah Marzuki, 27, berkata kejayaan itu hasil komitmen tinggi pemain dan sokongan warga sekolah serta ibu bapa.

“Saya berbangga kerana ini kali kedua berturut-turut pasukan kami muncul juara. Saya berharap mereka akan terus disiplin dan semangat juang ini untuk pada peringkat Majlis Sukan Sekolah Negeri Sembilan nanti, saya percaya mereka mampu bersaing jika kekal fokus,” katanya.

Sementara itu, penyerang, Mirza Nabil daripada pasukan KVKK A muncul penjaring gol terbanyak bagi kategori bawah 18 tahun manakala bagi kategori bawah 15 tahun dirangkul oleh Muhamad Adam Afiq daripada pasukan SMK DUMA.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×