PBT di Sepanyol larang sambutan Aidilfitri, Aidiladha di kemudahan awam - Utusan Malaysia

PBT di Sepanyol larang sambutan Aidilfitri, Aidiladha di kemudahan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MURCIA: Pihak berkuasa tempatan di Murcia, tenggara Sepanyol meluluskan larangan penggunaan kemudahan awam oleh masyarakat Islam untuk menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha, langkah yang mencetuskan kemarahan dan kebimbangan dalam kalangan komuniti Muslim dan kumpulan hak asasi.

Larangan tersebut, yang diperkenalkan di bandar Jumilla oleh parti konservatif Partido Popular (PP), merupakan yang pertama seumpamanya di negara itu. Ia diluluskan dalam dewan bandar dengan sokongan pasif parti sayap kanan ekstrem Vox yang mengambil keputusan untuk berkecuali, manakala parti-parti berhaluan kiri tempatan membantah keras.

Peraturan baru itu menyatakan “kemudahan sukan milik majlis tidak boleh digunakan untuk aktiviti keagamaan, budaya atau sosial yang asing daripada identiti kita kecuali jika dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan sendiri.”

Parti Vox tempatan menyambut keputusan tersebut dengan kenyataan di platform X (dahulunya Twitter):

“Terima kasih kepada Vox, langkah pertama untuk mengharamkan perayaan Islam di ruang awam Sepanyol telah diluluskan. Sepanyol adalah dan akan kekal sebagai tanah untuk orang Kristian.”

Mounir Benjelloun Andaloussi Azhari, Presiden Persekutuan Organisasi Islam Sepanyol, menyifatkan langkah itu sebagai “Islamofobik dan diskriminasi.”

“Mereka tidak menyasarkan agama lain, hanya agama kami,” katanya kepada akhbar El País, sambil melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan retorik perkauman. “Buat pertama kalinya dalam 30 tahun, saya berasa takut,” tambahnya.

Jumilla mempunyai populasi sekitar 27,000 orang, dan kira-kira 7.5% daripadanya berasal dari negara-negara majoriti Muslim.

Langkah ini dijangka akan dicabar secara sah kerana ia didakwa bertentangan dengan Perkara 16 Perlembagaan Sepanyol yang menjamin kebebasan beragama dan kepercayaan, selagi ia tidak mengganggu ketenteraman awam.

Pemimpin Parti Sosialis di wilayah Murcia, Francisco Lucas, mengecam tindakan PP dan menuduhnya “melanggar perlembagaan demi kuasa dan menggugat perpaduan sosial.”

Bekas Datuk Bandar Jumilla, Juana Guardiola, turut mempersoalkan dasar identiti yang digunakan oleh PP:

“Apa maksud mereka dengan identiti? Bagaimana pula dengan warisan berabad-abad masyarakat Muslim di sini?”

Jumilla pernah berada di bawah empayar Rom sebelum ditakluki oleh Arab pada abad ke-8 dan dikenali sebagai Yumil-la. Bandar ini kekal sebagai penempatan Arab selama beberapa abad sebelum diserang oleh tentera Kristian yang dipimpin Raja Alfonso X dari Castile pada abad ke-13.

Pada mulanya, penduduk Arab dan Raja Alfonso mencapai perjanjian damai dikenali sebagai Kapitulasi Alcatraz, yang membenarkan Alfonso menjadi raja dengan syarat hak penduduk sedia ada dihormati. Namun selepas kematian Alfonso, Castile melanggar perjanjian itu dan merampas Jumilla sepenuhnya, menamatkan pemerintahan Arab di kawasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×