Zii Jia berteka teki ke Kejohanan Dunia

Zii Jia berteka teki ke Kejohanan Dunia

Lee Zii Jia belum mengesahkan akan bertanding pada Kejohanan Dunia 2025 di Paris bulan ini meskipun namanya dalam senarai pemain yang akan bertanding oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF). - UTUSAN.SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status penyertaan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ke Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris terus menjadi teka-teki apabila beliau masih belum menarik diri secara rasmi, biarpun sudah lama menyepi daripada saingan kompetitif.

Zii Jia kali terakhir beraksi pada pusingan pertama All England pada Mac lalu, dan sejak itu hanya muncul menerusi media sosial, tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusannya.

Dalam kemas kini terakhir Instagram Team Lee Zii Jia (LZJ) pada April lalu, mereka mengumumkan penarikan diri bekas No. 2 dunia itu daripada Terbuka Switzerland dan memohon perlindungan ranking daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Beliau dijangka membuat kemunculan semula di Terbuka Jepun dan China bulan lalu, namun menarik diri pada saat akhir tanpa sebarang kenyataan susulan daripada dirinya mahupun pengurusannya.

Berdasarkan kemaskini terkini BWF, nama Zii Jia masih berada dalam senarai pemain ke Kejohanan Dunia, dan beliau masih mempunyai masa sehingga 12 Ogos ini untuk membuat keputusan sama ada terus bersaing atau menarik diri.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata bahawa penyertaan awal Zii Jia adalah berdasarkan fasa pertama kelayakan yang telah diputuskan sebelum beliau menarik diri daripada dua kejohanan utama bulan lalu.

“Untuk Kejohanan Dunia, kami belum terima sebarang makluman penarikan diri daripada pihak Zii Jia,” kata Kenny kepada Utusan Malaysia.

Jika Zii Jia kembali, beliau akan menyertai Leong Jun Hao selaku wakil kedua Malaysia, namun perlu bersedia bertemu pemain pilihan utama seawal pusingan pertama kerana kedudukannya kini di ranking ke-52 dunia.

Namun sekiranya beliau membuat keputusan untuk menarik diri, pemain muda negara, Justin Hoh berpeluang besar melakukan penampilan sulung di pentas dunia, bergantung kepada jumlah penarikan yang berlaku sebelum tarikh tutup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×