LONDON: Penantian panjang penyokong Chelsea akhirnya berakhir apabila kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengumumkan kehadiran pemain muda sensasi Brazil, Estevao Willian ke Stamford Bridge bagi memperkuatkan skuad menjelang musim baharu 2025/26.
Pemain sayap berusia 18 tahun itu dibeli daripada Palmeiras pada Jun 2024 dengan harga 28 juta pound (RM170.3 juta), namun terpaksa menunggu sehingga mencapai usia 18 tahun sebelum dibenarkan beraksi di England.
Sepanjang musim lalu, Estevao kekal bersama kelab lamanya di Brazil dan sempat menjaringkan gol ketika menentang Chelsea pada suku akhir Piala Dunia Kelab, yang menyaksikan Palmeiras tewas 1-2.
“Saya amat gembira kerana dapat menyertai salah satu kelab terbesar dunia. Penantian ini sangat berbaloi dan saya mahu membantu pasukan sebaik mungkin,” kata Estevao kepada laman rasmi Chelsea.
Pemain yang mendapat jolokan ‘Messinho’ itu sering dibandingkan dengan bintang terkenal Neymar, malah pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik ESPN Brazil termuda dalam sejarah.
Pengendali Chelsea, Enzo Maresca mengakui kagum dengan bakat besar dimiliki Estevao, namun menegaskan proses penyesuaian diri adalah kunci kejayaannya di Liga Perdana.
Chelsea sebelum ini turut menambah beberapa pemain baharu seperti Jamie Bynoe-Gittens (Borussia Dortmund) dan Jorrel Hato (Ajax) bagi memperkukuh skuad menghadapi musim baharu. – AGENSI/UTUSAN










