KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan kajian perbandingan model pelantikan kehakiman negara lain bagi memastikan proses itu dilaksanakan dengan lebih telus, bebas dan selaras dengan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian itu dilakukan dilakukan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang‑Undang, Jabatan Perdana Menteri terhadap model pelantikan kehakiman di negara lain seperti United Kingdom, Singapura, Australia dan India.
Katanya, ia dilaksanakan secara inklusif melalui sesi libat urus bersama badan Kehakiman, Majlis Peguam Malaysia, ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, institusi pengajian tinggi, pakar Perlembagaan, masyarakat sivil dan penglibatan pandangan awam.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan proses pelantikan dilaksanakan dengan lebih telus, bebas dan selaras dengan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta kerajaan menyatakan apakah langkah penambahbaikan proses lantikan hakim untuk memberi gambaran sebenar bahawa doktrin pengasingan kuasa dilaksanakan dengan sempurna.
Menurut Azalina, pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan adalah tertakluk kepada Perkara 122B (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Kerajaan Madani sebagai pemerintah sentiasa menghormati pemisahan kuasa antara badan Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman.
“Kerajaan terus komited dalam memastikan bahawa pelantikan jawatan-jawatan penting negara termasuklah jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada,” katanya. – UTUSAN









