KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membangkitkan persoalan berhubung masa depan orang Melayu dan bumiputera di bandar, khususnya berkait isu pengambilan tanah di kawasan tradisi dan warisan.
Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai perancangan menyeluruh untuk mengkaji semula kaedah dan prosedur pengambilan tanah bagi kawasan Melayu yang sering menjadi sasaran pembangunan komersial atas nama kepentingan awam.
“Pengambilan tanah sepatutnya tidak disalahgunakan bagi tujuan pembangunan komersial atas nama kepentingan awam sedangkan manfaatnya lebih menguntungkan pihak swasta,” katanya di dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menuntut penjelasan lanjut mengenai Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang sedang dirangka, sama ada mengandungi mekanisme semak dan imbang bagi menjamin hak serta suara penduduk, termasuk kumpulan minoriti, agar pengambilan tanah tidak berlaku secara paksaan.
“Adakah URA yang bakal dibentangkan mengandungi mekanisme semak imbang yang menjamin hak dan suara penduduk termasuk kumpulan minoriti agar pengambilan tanah tidak berlaku secara paksa,” katanya.
Katanya, isu penghakisan tanah warisan Melayu bukan sekadar soal ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi menyentuh jati diri, maruah dan kelangsungan bangsa di tengah kota.
Sebaliknya, pihak kerajaan dalam jawapan memaklumkan bahawa satu mekanisme sedang diperhalusi bagi memastikan keseimbangan demografi khususnya di kawasan majoriti Melayu dapat dikekalkan.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, kerajaan turut menjelaskan bahawa meskipun URA berada di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), pelaksanaan pembangunan di Kuala Lumpur juga tertakluk kepada Akta Ibu Kota Persekutuan yang akan mengambil kira penyelarasan kedua-dua akta.-UTUSAN










