Bantah RUU URA, pembangkang sedia digantung enam bulan

PARLIMEN: Bantah RUU URA, pembangkang sedia digantung enam bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang bersedia digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan kerana menentang Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijangka dibentangkan esok.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tetap bertegas menolak RUU tersebut dan akan menentangnya secara habis-habisan bagi menuntut supaya ia ditarik balik serta tidak dibahaskan.

Katanya, semua Ahli Parlimen PN bersedia menerima sebarang tindakan termasuk digantung kerana perjuangan itu melibatkan kepentingan rakyat.

“Semua 68 Ahli Parlimen PN sedia berdepan hukuman digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan kerana kita serius dalam menentang RUU tersebut.

“Kita akan terus menuntut supaya RUU URA ditarik balik dan tidak akan dibahaskan esok serta tidak diluluskan. Jika tidak, kita tahu apa akan berlaku, kami tidak kisah digantung menghadiri sidang Dewan Rakyat,” katanya ketika berucap pada sesi penyerahan memorandum bantahan pembentangan RUU berkenaan di Bangunan Parlimen, hari ini.

Penyokong terbabit terdiri daripada dua kumpulan iaitu PN bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Persatuan Penduduk-penduduk Wilayah Persekutuan yang hadir membantah URA.

Kehadiran mereka disambut oleh Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang yang tampil menerima memorandum bantahan tersebut.

Menurut Takiyuddin, meskipun jumlah Ahli Parlimen pembangkang tidak mencukupi untuk menolak RUU itu, beliau percaya masih ada blok kerajaan yang turut menolak cadangan berkenaan.

Katanya, desakan rakyat juga diyakini mampu memberi tekanan agar RUU itu tidak diteruskan.

“Kalau hari ini rakyat boleh berada di sini sebelum URA dibahaskan, kita jamin esok lebih ramai akan beri sokongan menentang akta zalim ini,” katanya.

RUU berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada 21 Ogos lalu manakala bacaan kali kedua dan ketiga dijadualkan berlangsung esok.

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berkata, pembentangan itu menandakan hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×