PENGGUNAAN vape di Malaysia semakin membimbangkan apabila data menunjukkan peningkatan mendadak dalam kalangan pelajar sekolah, remaja dan anak muda.
Lebih memburukkan keadaan, produk vape kini bukan lagi sekadar rokok elektronik biasa, sebaliknya mudah dicampur dengan dadah sintetik seperti syabu, ganja cair (THC), heroin dan pelbagai bahan terlarang lain.
Tidak memerlukan kemahiran tinggi untuk membuat campuran berbahaya ini, menjadikannya medium paling mudah memperkenalkan dadah kepada remaja. Situasi ini amat serius kerana kita bukan sahaja berdepan dengan isu kesihatan awam tetapi juga krisis sosial dan ancaman terhadap masa hadapan negara.
Lebih mengejutkan, harga vape dan pod yang semakin murah serta reka bentuknya yang comel dan menarik menjadikannya sangat mudah dimiliki pelajar sekolah. Perisa yang ditawarkan pula sangat pelbagai membentuk persepsi vape sesuatu yang menyeronokkan dan tidak berbahaya.
Iklan di media sosial yang tidak dikawal serta jualan secara dalam talian menyemarakkan lagi budaya ini dalam kalangan remaja yang mencari keseronokan sementara. Tanpa sedar, mereka menjadi mangsa ketagihan yang lambat-laun terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah dan jenayah.
Kesan penggunaan vape dicampur dadah sangat merosakkan. Ia bukan sahaja mengganggu fungsi otak tetapi menyebabkan masalah kesihatan kronik seperti kerosakan paru-paru, kegagalan buah pinggang, serangan jantung dan gangguan psikotik.
Dari aspek sosial pula, ketagihan ini menyebabkan pelajar ponteng sekolah, berkelakuan agresif, hilang minat terhadap pelajaran dan akhirnya tercicir. Ini akan menambah bilangan remaja yang menganggur, terbabit dalam gejala sosial seperti buli, gangsterisme dan akhirnya terlibat jenayah berat.
Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan paling tegas dan menyeluruh dengan mengharamkan penggunaan, penjualan, pengedaran serta pengiklanan vape dalam semua bentuk. Undang-undang sedia ada perlu dikemas kini dan dikuatkuasakan tanpa kompromi.
Singapura mengambil langkah proaktif mengharamkan vape sepenuhnya dan berjaya mengurangkan kadar penggunaannya. Begitu juga Thailand dan Australia yang menyedari ancaman vape sebagai pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah.
Malaysia harus belajar dari langkah-langkah tegas ini dan tidak tunduk kepada tekanan pengusaha industri yang lebih mementingkan keuntungan daripada nyawa atau masa hadapan generasi muda.
Kesedaran mesti ditanam di rumah, diperkukuh di sekolah dan disebarluaskan melalui kempen kesedaran yang agresif dan berterusan.
Pendidikan awal tentang bahaya vape dan dadah perlu menjadi sebahagian daripada kurikulum dan ko-kurikulum sekolah. Pihak sekolah harus diberi kuasa lebih luas untuk membuat pemeriksaan mengejut ke atas pelajar dengan kerjasama polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Malah, setiap daerah wajar mempunyai pusat intervensi khas bagi remaja yang terlibat dengan vape dan dadah untuk diberi rawatan dan bimbingan pemulihan.-UTUSAN
Nurul Iman Mohd. Imran
SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong,
Batu Pahat, Johor









