JOHOR BAHRU: Komisioner Ab. Rahaman Arsad dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu menggantikan Datuk M. Kumar kini menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor yang diadakan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.
Ab. Rahaman yang berusia 58 tahun sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Beliau yang berasal dari Kulai mula menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1989 dan menjawat beberapa jawatan termasuk Ketua Jabatan Pengurusan IPK Negeri Sembilan dan Ketua Jabatan Pengurusan IPK Kedah.
Antara jawatan lain termasuk sebagai Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan Jenayah Sabak Bernam, Selangor dan Pensyarah Undang-Undang Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam.
Sementara itu, Kumar pula dilantik sebagai Ketua Polis Johor pada Januari 2024 dan sebelum itu memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Johor sejak Oktober 2022.-UTUSAN











