PUTRAJAYA: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan audit teknikal dilaksanakan segera di cerun-cerun utama di laluan masuk ke Bukit Fraser, Pahang serta kawasan kritikal berhampiran, khususnya lokasi yang pernah mencatatkan insiden tanah runtuh.
Beliau berkata, audit terperinci oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) disegerakan susulan kebimbangan semasa terhadap lokasi pelancongan itu berdasarkan laporan Min uan Malaysia semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau menegaskan, laporan isu keselamatan cerun dan risiko tanah runtuh di kawasan tanah tinggi Bukit Fraser itu mencerminkan kebimbangan yang wajar, khususnya membabitkan aspek keselamatan pengguna jalan raya, pelancong, dan komuniti setempat.
Untuk itu, kata beliau, proses pemetaan risiko baharu akan digerakkan bersama pelan tindakan mitigasi jangka pendek dan panjang, termasuk pemasangan sistem pemantauan automatik.
“Bukit Fraser merupakan salah satu destinasi tanah tinggi yang bersejarah dan kaya nilai warisan, justeru aspek keselamatan cerun dan kestabilan tanah perlu ditangani secara menyeluruh.
“Ia bukan sekadar daripada sudut kejuruteraan, malah turut mengambil kira aspek keseimbangan ekologi dan pembangunan pelancongan yang mampan.
“KKR akan memastikan maklumat berkaitan status cerun dan risiko keselamatan dikongsikan secara telus melalui papan tanda amaran di lokasi cerun berisiko, hebahan digital serta kerjasama bersama pengendali pelancongan,” katanya.
Sebagai kementerian bertanggungjawab terhadap infrastruktur jalan raya negara, pihaknya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR), melaksanakan pelbagai inisiatif proaktif dalam kerja-kerja pemantauan, penyelenggaraan dan pemulihan cerun di seluruh negara.
Antaranya program pemantauan cerun secara berkala yang mana sehingga kini lebih 27,000 cerun di sepanjang Jalan Persekutuan dipetakan melalui kaedah penilaian risiko cerun (SRA).
Katanya, langkah itu dipantau secara berkala menggunakan teknologi pemantauan geoteknikal.
Selain itu, kerja-kerja mitigasi cerun berisiko tinggi turut dilaksanakan dengan peruntukan khusus disalurkan setiap tahun bagi pelaksanaan kerja teknikal di lokasi-lokasi cerun berisiko tinggi.
“Ia seperti pembinaan tembok penahan, sistem saliran cerun, pemasangan jaring batu, kaedah paku bumi (soil nailing), dan sistem pengaliran semula air bawah tanah,” katanya.
Beliau berkata, sistem Amaran Awal turut dipasang bagi cerun-cerun kritikal, melibatkan sensor dan tolok hujan bagi memantau keamatan hujan dan pergerakan tanah.
Katanya, di laluan FT55, Daerah Hulu Selangor misalnya, pemasangan sistem ini telah dilakukan di dua lokasi strategik.
“Di bawah penyenggaraan cerun secara konsesi, sebanyak lima arahan kerja dikeluarkan bagi membaik pulih cerun di P27, Laluan FT55, Daerah Hulu Selangor dan satu
Arahan Kerja di Daerah Raub dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM 4.58 juta,” katanya.
Pada masa sama, KKR turut menjalinkan kerjasama dengan universiti tempatan serta agensi berkaitan alam sekitar bagi memperkukuh pendekatan pengurusan cerun termasuk penggunaan nature-based solutions yang lebih lestari.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan dan pelancong adalah keutamaan utama Kementerian dan akan terus memperkukuh sistem pemantauan dan mitigasi cerun negara secara holistik, selari dengan impak perubahan iklim serta pertumbuhan pembangunan di kawasan tanah tinggi.
“Saya turut menyeru semua pihak, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, pengusaha pelancongan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara keselamatan dan kelestarian Bukit Fraser serta kawasan tanah tinggi lain yang menjadi khazanah negara,” katanya.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan Bukit Fraser yang merupakan destinasi pelancongan tanah tinggi popular kini berdepan cabaran keselamatan ekoran kewujudan lokasi tanah runtuh pendam (TRPL).
Ia ibarat ‘bom jangka’ yang berisiko tinggi aktif semula khususnya selepas hujan berterusan dan gangguan terhadap struktur cerun asal.
Difahamkan, sebanyak 139 kejadian tanah runtuh sudah direkodkan berlaku sejak beberapa tahun ini dengan 60 daripadanya menghalang laluan utama. – UTUSAN










