Perbelanjaan pembangunan dijangka naik RM6b setahun

Perbelanjaan pembangunan dijangka naik RM6b setahun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbelanjaan pembangunan (DE) dijangka meningkat sebanyak RM6 bilion setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Ia susulan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM430 bilion bagi DE bagi tempoh 2026 hingga 2030, meningkat RM15 bilion atau 3.6 peratus berbanding peruntukan RM415 bilion di bawah RMK12 (2021 hingga 2025).

CIMB Research berkata, peruntukan tersebut tidak termasuk dana tambahan pembangunan daripada entiti berkaitan kerajaan (GLC) sebanyak RM120 bilion serta projek kerjasama awam-swasta (PPP) yang dianggarkan bernilai RM61 bilion.

“Peningkatan peruntukan ini dijangka merancakkan semula aktiviti infrastruktur awam, dengan impak ketara dijangka bermula pada suku keempat 2025 dan memuncak pada 2026 hingga 2027, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijadualkan pada 2028,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Menurutnya, Sabah dan Sarawak turut dijangka menerima limpahan manfaat menerusi peningkatan projek pembangunan, mengambil kira jadual pilihan raya negeri masing-masing pada 2025 dan 2027.

Katanya, antara projek utama yang bakal dilaksanakan termasuk pembinaan bangunan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (RM1 bilion), sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang (RM3 bilion hingga RM6 bilion), sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Klang (RM2 bilion) serta beberapa projek infrastruktur asas di Sabah dan Sarawak.

“Di selatan Semenanjung pula, tumpuan pelaburan dijangka beralih kepada Projek Transit Automatik Johor dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi KL–Singapura, manakala pembinaan Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura dijangka siap menjelang Disember 2026. 

“Setakat Jun lalu, kemajuan fizikal projek berkenaan telah mencapai 56 peratus. 

“Sentimen terhadap saham pembinaan juga bertambah positif susulan pengesahan rasmi kerajaan terhadap pelaksanaan projek Trasit Aliran Massa 3 (MRT3), walaupun kerja-kerja dijangka hanya bermula pada 2027,” katanya. 

Firma penyelidikan berkata, di bawah program GEAR-UP, enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menetapkan sasaran pelaburan sebanyak RM120 bilion dalam tempoh lima tahun, dengan RM11 bilion telah digerakkan setakat 30 Jun lalu.

CIMB turut menjangkakan lebih banyak projek kerjasama awam-swasta (PPP) akan direalisasikan di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030), sejajar usaha kerajaan menggalakkan penglibatan sektor swasta sebagai rakan strategik pembangunan negara.

“Langkah konsolidasi fiskal terus menjadi keutamaan, dengan defisit fiskal Persekutuan dijangka menyusut kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) pada 2025 berbanding 5.5 peratus pada 2022 (2024: 4.1 peratus),” ujarnya. 

Sementara itu, MBSB Research berkata, firma meramalkan defisit fiskal akan terus mengecil kepada purata 3.2 peratus daripada KDNK, dengan sasaran di bawah 3.0 peratus menjelang 2030 dianggap munasabah. 

“Ini adalah dengan pertumbuhan nominal KDNK dijangka sekitar 7.2 peratus setahun. 

“Ramalan itu berdasarkan peruntukan RM430 bilion tersebut bersamaan purata RM86 bilion setahun iaitu RM6 bilion lebih tinggi daripada anggaran sebelumnya. 

“Tahap ini dijangka menyumbang sekitar 3.4 peratus daripada KDNK dalam tempoh lima tahun,” katanya. 

Menurutnya, kerajaan turut merancang memperkukuh pengurusan fiskal menerusi reformasi pelaksanaan projek dan kutipan hasil lebih cekap melalui pelaksanaan sistem e-invois. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×