PETALING JAYA: Skuad silat negara menghantar isyarat awal yang cukup ampuh menjelang Sukan SEA Thailand hujung tahun ini selepas menyamai sasaran yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) pada Kejohanan Pencak Silat Asia 2025 di Vietnam yang berakhir, kelmarin.
Kontinjen negara membawa pulang tujuh pingat emas, tiga perak dan empat gangsa hasil kombinasi cemerlang antara aksi memukau dalam kategori seni dan ketangkasan dalam kategori tanding.
Lebih membanggakan, dominasi Malaysia dalam acara seni menyerlah apabila menyapu bersih tiga emas menerusi Ganda Putera, Ganda Puteri dan Tunggal Putera serta Puteri.
Setiausaha Agung Pesaka, Bibi Aishah Golbal Shah berkata pencapaian terbabit menjadi satu petanda untuk memburu lebih banyak pingat emas menjelang temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung di Songkhla, Disember ini.
“Kami capai sasaran tujuh emas yang ditetapkan, ini adalah pembuka jalan untuk kita buru kemenangan di Sukan SEA nanti pada bulan Disember.
“Pencapaian ini hasil persiapan awal menuju Sukan SEA di Songkhla dan peningkatan prestasi atlet silat sangat ketara. Mereka bersungguh-sungguh capai target masing-masing,” kata Bibi.
Dalam aksi terbabit, Muhammad Khairul Shaddad Ardi dan Nur Syafiqah Hamzah menyerlah dalam acara tunggal manakala gandingan adik-beradik Danial Azray dan Danial Azrol mencuri tumpuan dalam Ganda Putera.
Turut mengibarkan Jalur Gemilang di podium tertinggi ialah Ummi Mashitah Hassan (Kelas C Puteri), Mohd Abdul Latif Maxzakir (Kelas H Putera) dan Muhammad Khairi Adib Azhar (Kelas B Putera).
Untuk rekod, pada Sukan SEA edisi 2023 di Kemboja, skuad silat negara membawa pulang empat emas, lima perak dan empat gangsa, sekali gus melepasi sasaran awal dua emas meskipun tampil dengan ramai muka baharu. -UTUSAN











