Empat anggota polis didakwa subahat, ugut dua warga Thailand

Empat anggota polis didakwa subahat, ugut dua warga Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Tiga anggota polis berpangkat koperal antara empat anggota badan beruniform itu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap dua lelaki warga Thailand, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Arifshah Zulkefli, 23; Mohd Shukri Amran, 35; dan Mohammad Faizal Mirdukhim@Mustapa, 43; bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama melakukan pemerasan dan mendatangkan ketakutan terhadap dua lelaki warga asing itu sehingga mendorong mereka menyerahkan wang tunai RM10,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat Juru (arah selatan), kira-kira jam 1.30 pagi pada 26 September 2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34. Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lagi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Muhammad Nizar Mat Axid, 40, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dalam melakukan pemerasan tersebut.

Dia didakwa bersubahat dengan tiga tertuduh berkenaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira sejam kemudian di sebuah rumah sewa di Jalan Setia 2, Taman Setia, Bukit Mertajam.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 385 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman sama seperti pertuduhan utama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari kemudian mencadangkan supaya setiap tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM10,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta 12 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×