PETALING JAYA: Politik sempit dan tindakan pembangkang memperlekeh kejayaan negara kini di peringkat antarabangsa perlu dihentikan kerana ia bukan sahaja mencemar imej Malaysia, malah menjadi liabiliti kepada maruah negara.
Sambil mengimbas kembali sewaktu Pas berada di tampuk pemerintahan, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kritikan pembangkang itu tidak seharusnya dilakukan kerana tiada kejayaan yang boleh dibanggakan, malah disumbangkan oleh mereka kepada rakyat.
“Mereka lupa semasa mereka berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik seumpama dan sebesar ini berjaya digerakkan untuk dicapai.
“Kini, apabila Malaysia di bawah Kerajaan Madani berdiri megah menegak serta melakar diplomasi di persada antarabangsa dan memain peranan aktif menyelesaikan pertelagahan, pembangkang memilih untuk menyemai kebencian dan dendam kesumat.
“Beginilah politik sempit yang kita tolak. Kita tidak boleh benarkan suara-suara sumbang ini terus menjadi liabiliti kepada nama baik negara. Tindakan mereka jelas tidak patriotik dan memalukan negara,” katanya dalam hantaran media sosial X, hari ini.
Tegas Kamil lagi, tindakan tersebut bertentangan dengan tuntutan Islam yang meraikan pendamaian serta menyanggah kebencian politik yang membuak.
“Saya ingin tegaskan bahawa usaha ini bukan soal parti atau politik individu. Ini soal maruah negara.
“Ini soal peranan Malaysia sebagai pemimpin yang disegani di rantau ini. Dunia menyambut baik usaha ini dari Presiden Amerika Syarikat, Presiden China, sehinggalah ke seluruh komuniti ASEAN tetapi pembangkang kita pula memilih untuk menjadi sinis dan pesimis,” ujarnya.
Berikutan itu beliau menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari untuk memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja.
“Malaysia sama sekali tidak akan mempertahankan tindakan gopoh dan bebal mereka yang tidak ada secebis rasa hormat pada negara lain, apatah lagi negara jiran, dan pastinya kita juga tidak bersetuju sekiranya negara tercinta ini dihambur kenyataan biadab yang serupa,” ujarnya.
Sebelum ini, Fadhli memuat naik kartun seekor monyet menjadi hakim kepada dua ekor kambing yang berebut pisang. Ia disifatkan banyak pihak merupakan sindiran terhadap peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rundingan gencatan senjata Thailand-Kemboja. – UTUSAN










