Kerjasama kerajaan, ejen pelancongan promosi luar bandar

Kerjasama kerajaan, ejen pelancongan promosi luar bandar

LEE Fook Moi (Tengah) ketika ditemui pada sidang akhbar penganjuran pameran Matta Fair Negeri Sembilan di Seremban hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerjasama strategik di antara kerajaan dan ejen-ejen pelancongan perlu dilakukan bagi mempromosikan produk pelancongan berpotensi khususnya di kawasan luar bandar.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Negeri Sembilan, Lee Fook Moi berkata, perancangan sektor pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memang memberi manfaat terutama dalam menjana peluang pekerjaan serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Sebenarnya, banyak destinasi pelancongan di negeri ini seperti Bukit Taisho di Bahau serta Ulu Bendul di Kuala Pilah untuk diketengahkan namun kurang mendapat perhatian berikutan isu pemilikan tanah persendirian dan ketiadaan akses jalan masuk yang sesuai.

“Kerajaan negeri perlu kerjasama dengan Matta supaya kami boleh bantu kenal pasti produk pelancongan yang sesuai untuk golongan muda, ada juga yang sesuai untuk golongan warga emas. Perkara ini penting kalau kita mahu tarik lebih ramai pelancong domestik,” katan pada sidang akhbar penganjuran pameran Matta Fair Negeri Sembilan di sini hari ini.

Fook Moi berkata, pembangunan dan promosi pelancongan bukan sahaja mampu melonjakkan ekonomi negeri malah memberi kesan langsung kepada penduduk setempat yang mengusahakan produk dan inap desa.

“Ia selaras dengan usaha kerajaan bagi memperkukuhkan pelancongan inap desa menerusi RMK13 kerana ia mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada kawasan tersebut khususnya di kampung-kampung.

“Kalau pelancong datang, banyak pihak boleh dapat manfaat. Orang jual makanan pun dapat manfaat yang tiada kerja pun boleh kerja secara sepenuh masa atau separuh masa,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap kerajaan negeri dapat memberi perhatian terhadap usaha membuka kawasan pelancongan baharu serta menaik taraf kemudahan sedia ada bagi menjadikan Negeri Sembilan destinasi pelancongan yang lebih menarik dan kompetitif di peringkat nasional.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 telah menekankan pemerkasaan ekonomi negeri serta memperkukuhkan pelaburan sektor pelancongan dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Selain itu, turut tumpuan turut diberikan kepada pemantapan sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi domestik, termasuk melalui pelaburan dalam infrastruktur, pemuliharaan produk ekopelancongan dan pembangunan lokasi baharu di luar bandar.

Kerajaan juga akan membangunkan zon khas pelaburan pelancongan (STIZ) khususnya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak sebagai pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×