Melihat kediaman Ellyna Hussin dan, Sam Majid, seolah-olah membawa kita ke resort mewah di pulau percutian tersohor.
Terletak di lot tepi yang strategik, rumah kluster dua tingkat seluas 265 meter persegi ini tidak hanya menjadi tempat berteduh, tetapi sebuah nadi ketenangan yang dibina dengan penuh jiwa dan rasa cinta terhadap seni dekorasi.
Pasangan ini memilih untuk menggabungkan gaya kontemporari moden dengan pesona hiasan dalaman Bali yang eksotik.
Bagi Ellyna, perabot kayu jati bukan sekadar elemen dekorasi, malah lambang ketahanan, keanggunan dan keindahan semula jadi yang sukar ditandingi.
“Saya gemarkan perabot kayu jati yang biasanya dilihat di hiasan dalaman kediaman dan hotel-hotel di Bali, Indonesia.
“Konsep ini bukan sahaja nampak mewah tetapi elegan dengan susun atur yang sederhana,” katanya kepada Seri.
Rona kayu gelap yang digunakan apabila digandingkan dengan warna putih dan coklat cair, mewujudkan harmoni visual yang menenangkan seperti deruan ombak pantai.

Dinding putih yang bersih menjadi latar sempurna untuk menyerlahkan kecantikan perabot kayu dan langsir rona coklat lembut.
Di ruang tamu, sofa berwarna coklat kelabu tampak begitu serasi dipadankan dengan bantal hiasan kecil rona kuning, suntikan kontras yang bijak untuk membangkitkan seri ruang.
Meja kopi ukiran kayu yang anggun berdiri megah sebagai titik tumpuan, seolah-olah menyambut setiap tetamu dengan pesona tersendiri.
Antara aspek paling memikat dalam kediaman ini adalah pencahayaan semula jadi yang melimpah indah ke segenap ruang.
“Saya sukakan cahaya matahari. Kami buat transformasi pada pintu laluan ke dapur yang diubah suai agar cahaya dapat mengalir bebas, menjadikan ruang lebih terang, lapang dan segar.
“Ruang dapur dan pantri menjadi tempat paling digemari dan lokasi keluarga berkumpul,” katanya.
Set bilik tidur pula mengekalkan gaya Bali yang tenang dan damai, dengan katil kayu jati sebagai tumpuan utama.

Di ruang rehat, unsur kayu terus dikekalkan untuk mengekalkan kesinambungan suasana, sekali gus mencipta aura sederhana yang eksklusif.
Pasangan ini memilih untuk mengekalkan beberapa perabot lama yang mempunyai nilai sentimental, lalu digabungkan dengan item baharu lebih moden dalam pendekatan suai padan yang kreatif.
Perabot kayu jati bukan sahaja senang dijaga, malah mudah dipadankan dengan apa jua gaya atau elemen baru yang ditambah dari semasa ke semasa.
Biarpun tampak mewah, penyelenggaraan rumah ini tidak memerlukan komitmen terlalu tinggi.
“Kami hanya buat pertukaran kecil sahaja untuk dekorasi ini seperti kusyen, gubahan bunga dan item hiasan kecil untuk menyuntik pembaharuan pada ruang,” katanya.
Dalam soal memilih padanan warna, Ellyna lebih cenderung kepada rona lembut dan semula jadi.
Gabungan putih, coklat cair dan sentuhan neutral bukan sahaja memberi ilusi ruang lebih luas, malah mencipta suasana elegan dan tenang, sesuai dengan konsep Bali yang menjulang kedamaian dan keharmonian.










