KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Selangor FC yakin skuad Gergasi Merah mampu mencapai petunjuk indeks prestasi (KPI) yang ditetapkan bagi saingan musim baharu biarpun sedar bakal menerima saingan sengit pasukan lain.
Selangor FC pada musim depan menyasarkan untuk berada di kedudukan dua terbaik Liga Super, layak ke pentas final dalam dua kejohanan domestik dan berusaha mara ke pusingan kalah mati bagi aksi rantau Asia Tenggara dan Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, semua pihak perlu berusaha untuk memberikan prestasi terbaik dan konsisten agar pencapaian musim baharu nanti lebih baik berbanding edisi lepas.
“Bagi saya, kita perlu bersikap realistik dan melihat saingan yang kompetitif di liga kita. Bagi dua musim lepas, kita berjaya rapatkan jurang dengan pasukan juara (Johor Darul Ta’zim).
“Justeru, saya harap momentum itu kita perlu teruskan kerana KPI kita masih sama dengan sasar top 2 Liga Super, final Piala Malaysia dan Piala FA selain ke pentas kalah mati kejohanan serantau.
“Ini bukanlah tugas yang mudah kerana pasukan lain turut melakukan persiapan pramusim dengan baik tetapi saya percaya kita ada peluang yang baik (untuk mencabar kejuaraan),” katanya.
Mengulas mengenai bajet pasukan, Johan berkata, peruntukan hampir sama seperti tahun lalu kerana pasukan masukan perlu menampung kos pemain-pemain yang dipinjamkan.
“Lebih kurang sama macam tahun lepas (bajet), untuk bajet tahun ini mungkin lebih sedikit kerana kita mempunyai rmaai pemain yang kita ‘loan’ keluar, di mana bajet kita masih kena belanjakan.
“Tetapi secara dasar, kos gaji dan sebagainya untuk pasukan utama sama dengan tahun lepas,” katanya.
Pada musim lalu, juara Piala Malaysia 33 kali itu hanya berpuas hati dengan trofi Piala Cabaran selepas menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) di pentas final selain muncul naib juara Piala FA.
Kali terakhir Selangor FC menjuarai Liga Super adalah pada edisi 2010, Piala Malaysia (2015) dan Piala FA pada 2009.
Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi itu berpeluang untuk menjulang trofi pertama Liga Malaysia musim ini pada aksi Piala Sumbangsih bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 Ogos ini. – UTUSAN










