KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti cadangan pindaan terhadap beberapa undang-undang berkaitan bagi memperkukuh tindakan terhadap jenayah digital yang melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, antara akta yang terlibat ialah Akta 574 (Kanun Keseksaan), Akta 792 (Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017) dan Akta 588 (Komunikasi dan Multimedia).
Menurut beliau, pindaan itu perlu agar peruntukan undang-undang sedia ada lebih selari dengan keperluan semasa, khususnya dari aspek pensabitan kes melibatkan jenayah seksual kanak-kanak dalam talian.
“KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menilai dan merangka penambahbaikan terhadap undang-undang serta pendekatan sedia ada, terutamanya dalam aspek pengesanan digital forensik dan pensabitan kes, bagi memastikan pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan dengan lebih berkesan,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN–Kuala Kangsar) mengenai usaha kerajaan memperkemas undang-undang sedia ada agar pelaku kes jenayah seksual kanak-kanak dapat disabitkan secara efektif.
Shamsul Anuar berkata, PDRM kini memiliki makmal digital forensik yang dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta disokong Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Makmal ini menjalankan pelbagai fungsi termasuk menganalisis peranti digital, memulihkan data, mengesan aktiviti dalam talian mencurigakan serta menyediakan laporan teknikal untuk tujuan pendakwaan,” ujarnya. – UTUSAN







