Azizah Hakim Besar Sabah dan Sarawak wanita pertama

Azizah wanita pertama jadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak

AZIZAH NAWAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia di sini hari ini melakar sejarah tersendiri apabila Hakim Datuk Azizah Nawawi mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak wanita pertama negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dilahirkan pada 09 Januari 1962 di Sibu, Sarawak, Azizah memulakan kerjayanya dalam kehakiman sebagai Majistret di Kuching, Sarawak pada Oktober 1987 sebelum menjawat jawatan sebagai Peguam Kanan Persekutuan pada Mei 1998.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 12 September 2014 sebelum dinaikkan ke Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos 2019.

Selain Azizah, seramai 21 hakim turut mengangkat sumpah pada majlis hari ini dengan semua hakim yang mengangkat sumpah pada hari ini telah menerima Suratcara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, pagi tadi.

Majlis turut disaksikan oleh Ketua Hakim Negara yang baru dilantik, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang turut mengangkat sumpah di hadapan Seri Paduka.

Mendahului majlis ialah Datuk Abu Bakar Jais yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Mahkamah Rayuan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan paling kanan, Datuk P. Ravintharan.

Majlis diteruskan dengan Azizah mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak yang paling senior, Hakim Dean Wayne Daly.

Majlis kemudian diteruskan dengan majlis angkat sumpah Hakim Mahkamah Rayuan di hadapan Abu Bakar.

Mereka ialah Hakim Dr. Shahnaz Sulaiman, Hakim Datin Paduka Evrol Mariette Felix Michael Peters, Hakim Ong Chee Kwan, Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid, Hakim Leonard David Shim, Hakim Nadzarin Wok Nordin.

Sementara itu, mengangkat sumpat taat setia sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim ialah Hakim Dr. Choong Yeow Choy, Hakim Saiful Azian Mokhtar, Hakim Evawani Farisyta Mohamad dan Hakim Indra Nehru Savandiah.

Turut mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ialah Hakim Sumathi Murugiah, Hakim Moses Susayan, Hakim Kan Weng Hin, Hakim Dr. Wendy Ooi Su Ghee, Hakim Mohd. Rosli Yusoff, Hakim Dr. Hazlina Hussain, Hakim Roszianayati Ahmad dan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Selain itu, turut mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Azizah ialah Hakim Maslinda @ Linda Mohd Ainal dan Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN