Kesihatan mental jejas prestasi anak muda

Kesihatan mental jejas prestasi anak muda

MASALAH kesihatan mental bukan sekadar memberi kesan yang mendalam terhadap emosi, tetapi turut mengganggu prestasi akademik dan sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI remaja dan belia kini mengharungi kecelaruan emosi serta kemurungan yang amat merisaukan. Akademik, media sosial dan tekanan keluarga menjadi asbab menyumbang kepada fenomena ini berlaku.

Sistem Pendidikan yang berfokus kepada kejayaan prestasi sekolah menjadi tekanan yang hebat buat anak muda.

Peningkatan silibus mendorong segelintir anak muda sukar memahami dan menyebabkan tekanan emosi yang tidak stabil. Apabila hal sedemikian berlaku, ramai anak muda yang tidak berpuas hati dan kecewa apabila gagal dalam peperiksaan sehingga boleh menyebabkan stres atau kemurungan.

Kebergantungan kepada media sosial mampu merosakkan dan menjejaskan kesihatan mental selain mereka akan hilang keyakinan terhadap diri apabila membezakannya dengan orang lain. Kadang kala, platform ini mengundang buli siber.

Menurut laporan digital global setakat tahun lalu, kira-kira 16.4 juta orang atau 57.5 peratus penduduk Malaysia yang menggunakan media sosial untuk mengisi masa lapang dan terdedah melakukan perbuatan buli siber sama ada secara langsung ataupun tidak.

Konflik keluarga juga menjadi punca kesihatan mental terganggu. Jarak hubungan yang jauh membuatkan anak muda sukar meluahkan perasaan yang tidak senang dalam diri.

Mereka yang berdepan masalah kesihatan mental memerlukan sokongan besar daripada keluarga. Tanpa sokongan emosi di rumah, golongan ini akan resah dan akhirnya mula menyendiri atau memilih memendam perasaan. Ini menyebabkan mereka tertekan.

Masalah kesihatan mental bukan sekadar memberi kesan yang mendalam terhadap emosi, tetapi turut mengganggu prestasi akademik dan sosial. Kemurungan menyebabkan tugas harian seperti menyiapkan tugasan, menghadiri kelas dan memberi perhatian dalam pembelajaran terganggu.

Maka, kerajaan perlu meningkatkan jumlah kaunselor di seluruh institusi ekoran wujudnya keperluan mendesak. Sementara program kesedaran kesihatan mental perlu dilaksanakan supaya orang ramai dapat lebih ilmu pengetahuan mengenai masalah kesihatan ini.-UTUSAN

NURIN SABRINA MOHD. FAKIR
Pelajar Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×