CHANGSHA: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dari wilayah Hunan di tengah China nyaris maut selepas mengamalkan diet ekstrem yang hanya melibatkan pengambilan sayur-sayuran dan ubat julap semata-mata untuk menurunkan berat badan dengan cepat.
Menurut laporan media tempatan, remaja berkenaan yang hanya dikenali sebagai Mei melakukan diet melampau selama dua minggu demi membolehkan dirinya muat memakai gaun baharu sempena hari jadinya namun, usaha tersebut membawa padah apabila dia tiba-tiba mengalami kelemahan pada tangan dan kaki, selain sesak nafas sebelum dikejarkan ke hospital.
Hasil ujian darah kecemasan mendapati tahap kalium dalam darah Mei merosot ke paras amat berbahaya, mengakibatkan dia disahkan menghidap hipokalemia serius satu keadaan perubatan yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.
Keadaan ini boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan serangan jantung secara mengejut.
Sepanjang dua minggu, Mei hanya mengambil sejumlah kecil sayur-sayuran bersama julap, tanpa sebarang makanan berzat lain.
Ketika tiba di hospital, dia dalam keadaan kritikal dan hampir mengalami serangan jantung, sebelum diselamatkan menerusi prosedur perubatan kecemasan yang berlangsung selama 12 jam.
Doktor memaklumkan, nyawa Mei dapat diselamatkan hasil rawatan intensif, dan dia sudah pun dibenarkan keluar dari hospital baru-baru ini.
Pihak perubatan menjadikan kes ini sebagai peringatan serius kepada orang ramai agar tidak membahayakan nyawa sendiri semata-mata mahu menurunkan berat badan secara drastik.
“Kami ingin mengingatkan penurunan berat badan perlulah dilakukan dengan selamat dan berasaskan nasihat profesional. Apa yang dilakukan Mei boleh meragut nyawa,” kata seorang pakar kesihatan.
Beliau juga turut mengingatkan pengambilan julap tanpa kawalan boleh mengganggu fungsi organ dalaman dan membawa kepada dehidrasi serta ketidakseimbangan elektrolit yang serius. -AGENSI










