PARLIMEN: 155 tapak pelupusan sampah akan ditutup berperingkat

PARLIMEN: 155 tapak pelupusan sampah akan ditutup berperingkat

NGA Kor Ming di Dewan Rakyat, hari ini. - IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 tapak pelupusan sampah yang tercemar dan tidak memenuhi syarat kesihatan telah ditutup manakala 155 lagi akan ditutup secara berfasa menerusi pelan penutupan dan pemulihan yang dilaksanakan kerajaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu seiring dengan komitmen kerajaan dalam memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi masa depan.

“Tapak pelupusan yang sebelum ini tidak sanitari sedang dipulihkan agar menjadi lebih mesra alam dan selamat. Sehingga kini, sebanyak 23 tapak telah ditutup dengan selamat.

“Di bawah pelan penutupan dan pemulihan, sebanyak 155 tapak pelupusan lagi akan ditutup secara berperingkat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berhubung tindakan diambil dalam menangani isu pencemaran bau dan air yang berlaku akibat tapak pelupusan sampah tidak dikawal selia dengan baik sehingga mengakibatkan tapak pelupusan sampah itu terpaksa menampung kapasiti sampah yang berlebihan daripada sepatutnya.

Kor Ming berkata, pihak kementerian turut melaksanakan pendekatan strategik melalui pelaburan dalam teknologi hijau, penguatkuasaan lebih ketat serta pelan pemulihan tanah tercemar secara inovatif.

Katanya, antara kejayaan transformasi yang dilaksanakan dapat dilihat menerusi Projek Rentis Lestari Park di tapak pelupusan sampah Felda Bandar Tenggara, Johor.

“Tapak itu sebelum ini menyimpan lebih 360,000 metrik tan sampah dan kini dibangunkan menjadi taman berkonsepkan stroller garden yang lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk masyarakat setempat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, KPKT juga sedang membangunkan sebanyak 18 loji Waste to Energy (WTE) secara berperingkat menjelang tahun 2040.

“Teknologi WTE ini dijangka dapat mengurangkan sehingga 85 peratus sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, selain berupaya menjana sehingga 600 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×