PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menuntut kesemua pemain import pasukan itu segera menyesuaikan diri bagi memahami dengan baik strategi dan corak permainan pasukannya.
Selangor FC membawa masuk pemain Thailand, Picha Autra, Chrigor Moraes dan Willian Lira dari Brazil, Omid Musawi (Afghanistan) dan Zach Clough (England) bagi memperkuatkan pasukan mengharungi musim 2025-2026.
“Pemain tempatan yang kita ada mereka memahami strategi, taktikal dan gaya permainan kami tetapi pemain baharu tidak. Jadi, ini bermaksud mereka perlu menyesuaikan diri dengan gaya permainan Selangor dan cara permainan lawan. Ini amat penting.
“Sekarang kita perlu fokus kepada permainan kita sendiri tetapi pada masa sama, pemain baharu ini perlu memahami siapa lawan mereka, apa kekuatan dan kelemahan pihak musuh.
“Mereka secara beransur-ansur mula memahami sesuatu tentang bola sepak kita tetapi sudah tentu belum 100 peratus,” katanya.
Jurulatih dari Jepun itu menjangkakan dua importnya dari Brazil mampu memberi impak besar kepada pasukan malah Katsuhito turut berkata, mereka mempunyai persefahaman yang baik bagi membentuk permainan.
“Pitcha pula, dia sepatutnya sudah tahu tentang bola sepak Asia Tenggara, terutamanya di Thailand dan di sini. Jadi, kami mempunyai harapan terhadap pemain-pemain baharu ini.
“Saya berharap kami dapat menjalin kerjasama yang baik antara pemain tempatan dan import baharu ini kerana itulah yang sedang kami usahakan,” katanya. – UTUSAN










