Patuh SOP, elak dijangkiti varian baharu - Utusan Malaysia

Patuh SOP, elak dijangkiti varian baharu

Kerajaan mengumumkan 509 pengamal perubatan swasta diberi kuasa pakaikan gelang pink kepada orang ramai mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Beberapa jalur Variance of Concern (VOC) yang berlegar-legar di seluruh negara termasuk Malaysia dengan varian terbaharu, B.1.351 dari Afrika Selatan mendedahkan komuniti dengan jangkitan pantas dan meluas.

Lebih merisaukan, apabila saringan terhadap komuniti kerap menunjukkan keputusan negatif walaupun pesakit sudah berada pada tahap serius.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Hajar Fauzan Ahmad, 35, berkata, VOC dibimbangi berisiko melemahkan antibodi semua peringkat umur apatah lagi dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda selepas menyerang kumpulan tersebut.

Malah, menurut beliau, VOC tersebut dikaitkan dengan penyebab kadar kematian lebih tinggi kerana virusnya terus menyerang paru-paru tetapi tanda keradangan hanya dapat dikesan melalui imbasan sinar-X.

Selain itu, kata beliau, jangkitan melalui varian itu biasanya tidak menunjukkan gejala batuk dan selesema seperti varian sebelum ini.

“Kebanyakan pesakit hanya bergejala seperti sakit sendi, lemah badan, kelesuan dan hilang selera makan,” kata beliau di sini semalam.

Selain B. 1.351, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyenaraikan beberapa jalur VOC lain yang sedang merebak di seluruh dunia ialah B.1.1.7.

B.1.1.7 yang berasal dari United Kingdom, B.1.429 dan B.1.427 dari California, Amerika Syarikat (AS) dan P.1 dari Japan atau Brazil.

Mengulas lanjut, Hajar Fauzan berkata, mengikut kajian, setiap VOC tersebut menunjukkan persamaan yang mana terdapat mutasi pada lokasi D614G pada protein pepaku.

Mutasi berkenaan, katanya, adalah salah satu yang pertama didokumentasikan di AS pada tahap awal pandemik, kemudian tersebar ke Eropah.

Daripada data yang diperoleh, terdapat bukti bahawa varian dengan mutasi berkenaan menyebar lebih cepat daripada virus tanpa mutasi berkenaan.

“Terkini, mutasi pada D614G ini juga membolehkan SARS-CoV-2 menjangkiti anggota badan pesakit selain paru-paru,” katanya.

Beliau berkata, kajian sistematik menunjukkan virus itu dijumpai di beberapa organ di seluruh badan, termasuk faring, trakea, paru-paru, darah, jantung, saluran, usus, alat kelamin lelaki, otak dan ginjal.

“Selain itu, komponen SARS-CoV-2 juga dikesan dalam pelbagai cecair badan seperti lendir, air liur, air kencing, air mani, najis, cairan serebrospinal dan susu ibu.

“Kumpulan kami kini berusaha bagi memahami biologi varian SARS-CoV-2 yang berbeza. Buat masa ini kami sedang mengkaji varian dari pesakit dari negeri Pahang, Kelantan dan Johor yang mana maklumat ini penting untuk mengembangkan terapi baharu bagi menghentikan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan orang ramai meningkatkan kesedaran terhadap bahaya wabak pandemik Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×