Jari emak menggenggam erat tangan saya seolah takut dibawa terbang angin nan kencang. Dari anjung rumah yang sudah mula sesak dengan tetamu mencari perlindungan, kami memerhatikan khemah kenduri. Masih ramai di sana. Ada yang cepat-cepat menghabiskan makanan di pinggan. Ada yang duduk resah melihat kekecohan. Ada juga yang mengira-ngira jaraknya dengan kenderaan. Ribut itu akan diredahnya walau kelak basah kuyup badan.
Tidak beberapa lama selepas itu, atap khemah yang uzur itu tidak semena-mena bocor lalu koyak memuntahkan air hujan yang gagal ditampung. Air jatuh tepat di atas meja banquet tempat terhidang segala makanan.
Mujur saja hanya suku daripada makanan di atas meja itu ditimpa air. Selebihnya berjaya diselamatkan. Tapi kerugian masih juga dikira besar. Sedulang sambal goreng jawa yang dimasak secara gotong-royong oleh nenek, saudara mara dan jiran tetangga tidak dapat diselamatkan. Air hujan yang jatuh, menyapu bumbung khemah yang kotor berdebu itu langsung membuat ia tidak dapat dimakan.
Saya kerling kepada Mak Usu, makcik saudara belah emak saya. Wajahnya lebih mendung daripada langit kelam. Air jernih selebat hujan jatuh daripada tubir matanya membasahi solekan yang ditepek ke tepi. Maskara, celak dan bedak yang tertempel ke muka cair entah oleh tempias air hujan atau air mata. Saya tidak pasti. Suami yang baru dinikahinya menggosok belakang badan Mak Usu, cuba menenangkan ribut perasaan di hati wanita yang dicintai.
Hari itu sepatutnya menjadi hari bahagia. Hari dia diraikan sebagai pasangan raja sehari. Hari yang sepatutnya dipenuhi dengan gelak ketawa dan senyum riang. Namun takdir Tuhan mengatasi segalanya. Siapa sangka, hujan ribut melanda memporak perandakan majlis kenduri kahwinnya.
Saya masih ingat, tarikh hari itu, pertengahan Disember ketika saya berumur 10 tahun. Musim hujan panjang melanda negeri kami. Beberapa hari selepas kenduri perkahwinan Mak Usu, negeri kami dilanda banjir hebat.
Rumah atuk dan nenek tempat berlangsungnya kenduri kahwin itu turut ditenggelami air sehingga memaksa atuk dan nenek berpindah ke pusat penempatan sementara.
Semua peristiwa itu tertampal kukuh pada belahan ingatan. Sejak hari itulah, saya mula memasang niat dan merancang bagaimana hari bahagia saya kelak akan dilangsungkan.
***
“Mak Usu cubalah cakapkan sikit pada nenek.”
“Kalau semudah itu, nak bercakap dengan nenek, sudah lama Mak Usu ajak berbincang.”
Saya memandang Mak Usu yang sibuk menyusu anak bongsunya. Berkerut dahinya memandang saya. Kalau ada harapan untuk meyakinkan nenek, orangnya hanya Mak Usu. Hanya kepada wanita inilah saya gantungkan harapan untuk memujuk nenek supaya menimbang kembali saranan saya.
Waktu kian suntuk. Tinggal dua bulan sahaja sebelum majlis perkahwinan saya dilangsungkan. Jika ikut kehendak saya, memang majlis itu mahu diadakan di dewan orang ramai. Bahkan memang sering pun orang kampung mengadakan majlis di situ.
Namun nenek masih juga berkeras. Dia mahu orang menurutinya supaya majlis itu dilaksanakan di halaman rumah. Puas sudah alasan saya curahkan. Kalau majlis itu diadakan di dewan, tidak perlulah nenek bersusah payah mengemas rumah dan halaman. Lagipun, halaman rumah nenek bukanlah besar mana. Paling banyak, hanya dua buah khemah sahaja.
Alih-alih pelamin kelak akan diletakkan di beranda rumah juga. Jika dibuat di dewan, ruangnya lebih luas, lebih ramailah tetamu boleh dijemput. Pelamin pun boleh diletakkan di atas pentas. Tapi nenek itu daun keladi.
Semua saranan saya menggelongsor ke tanah jua.
Kata nenek, inilah peluangnya untuk rumah ini menerima ramai tetamu. Barulah orang kenal, ini cucu siapa, ini anak siapa, inilah rumahnya. Lagi pula, tetamu itu membawa rahmat. Untuk apa menjemput rahmat ke dewan orang ramai? Tanya nenek.
“Nenek memang tak mahu ambil katering?” Tanya Mak Usu. Bayinya sudah lena di samping. Dia bingkas dari duduk lalu menapak ke buaian sambil mencempung anaknya penuh hati-hati. Setelah dipastikan anaknya lena diayun buaian, Mak Usu mengambil tempat bersebelahan saya di ambang pintu rumah.
“Tak, nenek tetap juga mahu adakan rewang.”
Mak Usu melepas keluh berat. Sudah kami bincangkan hal ini, bukan dengan keluarga kami sahaja, malah turut dengan keluarga belah sana. Pilihan makanan telah dibuat. Nasi minyak, ayam masak merah, nenas masak lemak ikan masin dan beberapa lagi makanan sampingan. Selewat-lewatnya, tempahan katering itu perlu dilakukan minggu ini. Kalau terlewat, ada kemungkinan pihak katering tidak mahu menerima tempahan.
Tapi keras hati nenek perlu dilembutkan dahulu. Nenek masih mahu mengadakan rewang mengikut tradisi. Atas sebab itu juga, dia mahu melaksanakan majlis di rumah sahaja. Biar orang ramai dapat datang beberapa hari awal untuk sama-sama bergotong-royong memasak.
Nenek memang gemar ke majlis rewang saudara-mara dan jiran tetangga. Dahulu sewaktu saya masih kecil, ada juga dibawa saya bersama walau hanya untuk tengok-tengok sahaja dan berjumpa kawan-kawan. Nenek tidak kisah. Asalkan saya ada bersama meraikan suasana rewang itu. Dia mahu saya kenal adat budaya orang sini. Memanglah saya bukan orang Jawa asli. Emak saya, anak perempuan nenek memang orang Jawa tapi bukan ayah.
Ayah berasal dari Pantai Timur. Namun kerana sudah menetap dan membesar di kawasan ini, perlulah saya tahu adat orang Jawa yang terpakai.
Kata nenek juga, ini bukan saja soal adat namun turut menyentuh kesejahteraan hidup berjiran. Dengan amalan rewang ini sajalah jiran-jiran boleh saling berkenalan. Hidup di dunia moden seperti sekarang telah mendekatkan orang jauh dan menjauhkan orang dekat. Ramai anak muda sekarang tidak bertegur sapa dengan jiran. Malah, ada yang langsung tidak mengenal jiran sebelah rumah.
Rewang inilah salah satu peluang untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara jiran. Bahkan nabi juga bersabda: “Sebaik- baik kamu di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap jirannya”.
Namun itu semua soal lain.
“Nenek tu larat ke hendak masak makanan nanti?” Tanya Mak Usu seolah-olah berkongsi fikiran dengan saya.
“Mak Usu bukan tak tahu. Nenek itu kalau sudah perkara yang dia gemar, ada saja kudratnya. Daripada lemah dia boleh jadi paling kuat nanti masa rewang.”
Mak Usu tersenyum. Memang begitulah ibunya.
“Dia beritahu yang dia mahu masakkan sambal goreng untuk majlis nanti,” sambung saya lagi.
Senyum Mak Usu semakin lebar. Pasti dia membayangkan sambal goreng nenek yang terkenal itu. Nenek memang terkenal dengan sambal goreng Jawanya yang enak. Salah satu sebab mengapa jiran dan saudara sangat mahukan nenek untuk datang ke majlis rewang adalah kerana sambal goreng inilah. Di tempat tinggal kami, tiada sesiapa lagi yang boleh melawan kesedapan sambal goreng Jawa nenek.
Saya sendiri tidak boleh menafikan perkara itu dan kalau ada perkara baik yang datang daripada kekerasan kepala nenek, adalah sambal goreng jawanya. Nenek memang tidak suka makan sambal goreng buatan orang lain.
Ada saja akan dikritiknya. Sama ada terlampau kering, terlampau pedas, terlampau manis, tidak cukup tempeh atau apa sajalah. Pasti akan diperkatakan.
Saya pandang Mak Usu yang sedang mengelamun. Hanya Mak Usu harapan terakhir saya untuk memujuk nenek. Emak sudah lepas tangan. Berkali-kali sudah dia memujuk nenek supaya membiarkan majlis perkahwinan saya kelak diadakan di dewan orang ramai dan mengambil khidmat katering. Berbuih mulutnya memujuk sehingga satu hari, emak pulang dari rumah nenek dengan gelengan kepala yang lemah.
Saya tahu emak sudah tidak larat lagi untuk memujuk. Tinggal Mak Usu sajalah.
“Majlis nanti bukan pada waktu cutikan?” Tanya Mak Usu.
Anggukan saya menjawab soalannya. Mak Usu menggaru dagu sambil pandangan terus dibuang ke langit cerah.
“Ambil saja khidmat katering itu, nanti Mak Usu bincang dengan nenek,” putus Mak Usu selepas jeda beberapa minit lalu bingkas ke dapur. Hari sudah mahu tengah hari. Ada kerja rumah yang perlu dibereskan. Saya juga tidak boleh berlama-lama di rumah ini.
***
Bunyi lagu bingit di telinga. Dj sudah mengambil semula kendali majlis. Tetamu yang datang, sambung makan hidangan yang disajikan.
Semua dalam keadaan terkawal. Waktu berangkat ke sini dari rumah, ada risau berpuput dalam hati saya melihatkan langit yang mula kelam dengan guruh berdentum. Berkali-kali saya panjatkan doa supaya majlis ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Dan setakat ini, semua mengalir seperti sungai jernih di belantara dara. Langit turut menahan gejolak hujannya.
Mak Usu berjaya meyakinkan nenek supaya majlis diadakan di dewan orang ramai atas alasan jumlah tetamu yang banyak tidak mampu ditampung andai majlis dilakukan di rumah. Namun nenek memberi syarat, akad nikah hendaklah diadakan di rumah dengan beberapa tetamu seperti saudara dekat dan teman.
Kami bersetuju dan malam semalam, selesailah segala urusan akad nikah. Telah sah saya sebagai seorang isteri kepada jejaka yang kini duduk di samping.
Sekali lagi, saya juga berterima kasih kepada Mak Usu, atas usahanyalah nenek memberi perkenan supaya kami mengambil khidmat katering.
Nenek akhirnya akur bahawa majlis ini tidak boleh dilaksanakan tanpa khidmat katering. Amalan rewang yang selama ini diamalkan terpaksa ditangguh kerana tenaga kerja yang tidak mencukupi. Orang kampung, malah sanak saudara kami masih dibelenggu kesibukan kerja sehingga dua hari lepas. Jika dipaksakan juga acara rewang, akan beratlah beban di pundak nenek. Mungkin saja makanan tidak sempat siap dimasak dan kelak majlis jadi porak peranda.
Tapi nenek masih berkeras juga mahu memasak sambal goreng jawanya. Dan sayalah manusia paling gembira kerana kekerasan hatinya. Memang tiada yang boleh melawan sambal goreng nenek. Tidak sekarang dan mungkin selamanya.
Demi meraikan nenek juga, semalam kami turut berewang menyiapkan sambal goreng. Saya, Mak Usu, emak dan beberapa saudara dekat lain telah berkumpul di rumah pusaka. Kamilah yang memotong tempe, tahu, kentang, membersihkan suhun dan segala macam keperluan buat sambal goreng itu.
Tepat pukul 2 pagi semuanya selesai. Nenek yang sudah dimamah usia itu meminta diri awal dek kepenatan. Mak Usu mengiringnya ke kamar. Sempat juga dia mengenyitkan mata kepada saya.
Menjelang tengah hari menghampiri waktu Zuhur, sambal goreng Jawa nenek sudah tinggal suku dulang. Tetamu yang datang semua mengambil barang sesenduk dua. Mujur sudah saya minta kepada Mak Usu supaya mengasingkan sebahagian dan letakkannya di meja santapan pengantin. Dapatlah juga saya dan suami merasa masakan kebanggaan nenek.
Semuanya berjalan seperti yang saya inginkan. Majlis akad sehingga persandingan licin seperti kulit bayi baru lahir. Langsung tiada cacat celanya. Hati nenek yang keras itu dapat kami lembutkan dengan perundingan. Bukan itu sahaja, beberapa keinginan nenek kami turutkan dan adat rewang masih berlangsung walau tidak sempurna.
Dalam kerumunan orang ramai itu, saya lihat nenek tersenyum bahagia melayan tetamu.
Daripada batang tubuh nenek, pandangan saya mengitar sebelum jatuh ke sosok yang sudah lama tidak saya lihat. Dia sedang berdiri tidak jauh dari pintu masuk sebelah kanan dewan. Tubuh kecilnya kadang terhalang oleh orang yang lalu lalang. Tapi saya dapat lihat senyumannya. Senyuman gembira.
Anak matanya memandang saya di meja santap pengantin. Mulutnya bergerak menggumam ayat. Walau tidak dapat saya dengar butir bicaranya. Saya tahu apa yang dia maksudkan.
“Terima kasih,” ucap budak perempuan 10 tahun itu. – UTUSAN










