ALOR SETAR: Pembangkang dilihat lebih gemar berkempen di jalanan berbanding menggunakan saluran demokrasi dalam Parlimen untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Perdana Menteri dan kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri membuka ruang seluas-luasnya dalam Dewan Rakyat dengan memberi jaminan akan mendahulukan sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dibawa oleh pembangkang.
“Perdana Menteri kata sebagai Ketua Majlis beliau akan minta Speaker dahulukan sebarang usul undi tidak percaya untuk menjatuhkan beliau, jadi bola di kaki pembangkang.
“Dalam kes ini, Perdana Menteri juga kata usul pembangkang akan didahulukan. Urusan kerajaan akan ditangguh dulu tapi sidang Parlimen sudah lima hari, sunyi sepi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Polis Diraja Malaysia di Derga, hari ini.
Beliau menyifatkan ketiadaan tindakan pembangkang di Parlimen itu membuktikan mereka tidak mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan secara sah selain bersifat provokasi.
“Kalau pembangkang faham proses demokrasi dan nak guna jalur demokrasi untuk menjatuhkan seseorang, ia adalah melalui Parlimen. Tapi kenapa tak dibuat, hakikatnya pembangkang tak ada sokongan melainkan segmen mereka sahaja. Jadi cara mereka adalah bawa di luar Parlimen.
“Mereka fikir Kerajaan Madani akan buat sekatan, maaf perkara itu tidak terjadi. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menggariskan boleh berkumpul, silakan nak duduk atau nak berucap.
“Cuma di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, masih lagi berkuat kuasa beberapa sekatan contohnya tak boleh bawa kanak-kanak dan senjata berbahaya. Jadi kalau mereka terlebih teruja nak bakar suar dan sebagainya polis terpaksa kuatkuasa undang-undang,” ujarnya.
Saifuddin turut mempersoalkan motif sebenar pembangkang yang menurutnya seolah-olah mahu mewujudkan keresahan rakyat dan memberikan gambaran buruk terhadap kepimpinan negara.
“Mereka minta Anwar turun, Anwar sudah turunkan harga minyak. Mereka minta Anwar turun, Anwar turunkan tarif elektrik. Tidak boleh tahan lagi dua tahun tempoh tamat dan nak sangat jatuhkan beliau sebagai Perdana Menteri sekarang.
“Rakyat boleh tengok nak pegang prinsip demokrasi atau sebenarnya nak wujudkan keresahan. Paparkan wajah hodoh, bagi isyarat buruk kepada pelabur berpotensi ketika ekonomi sedang mula bergerak ke arah lebih baik. Jadilah pembangkang yang bertanggungjawab,” ujarnya. – UTUSAN











