SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas ditemukan maut awal pagi tadi oleh pasukan bomba dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ke dalam parit di Rantau, di sini, malam semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1, Mohd. Syazwan Saidi berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berkenaan insiden tersebut pada pukul 9.53 malam.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa iaitu lelaki berusia 62 tahun yang merupakan pesara ladang menaiki motosikal jenis EX5 dalam perjalanan pulang dari pekan Rantau ke rumahnya di Ladang Marjorie (Ladang Linggi).
“Mangsa dipercayai terbabas dan hilang kawalan jatuh ke dalam parit. Kejadian itu disaksikan oleh seorang pegawai polis bantuan ladang yang bertugas di pondok polis. Mangsa yang terbabas ke dalam parit terus tenggelam.
“Saksi kemudiannya segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk meminta bantuan pihak bomba,,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohd Syazwan lagi, pasukan bomba termasuk lima pegawai dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Teluk Kemang serta polis telah melaksanakan SAR di permukaan air serta menyusur tebing parit tersebut dengan kedalaman tiga meter.
Menurutnya, mangsa ditemukan pada pukul 12.05 pagi dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian. – UTUSAN











