Kos murah jadikan Malaysia tumpuan pelancong kesihatan

Kos murah jadikan Malaysia tumpuan pelancong kesihatan

DR. KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos rawatan murah dan khidmat jururawat antara terbaik di dunia menjadi tarikan Malaysia destinasi utama pelancongan kesihatan pesakit antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, peningkatan pesakit antarabangsa mendapatkan rawatan kesihatan di negara ini disebabkan Malaysia antara negara di Asia Tenggara mempunyai kualiti penjagaan kesihatan yang tinggi.

Bukan itu sahaja, katanya, kos yang dikenakan oleh sektor swasta kepada pesakit antarabangsa juga amat berpatutan malah antara terendah berban­ding negara lain.

“Perkara ini mungkin tak dapat dilihat oleh rakyat Malaysia sendiri kerana mereka tidak keluar negara untuk mendapatkan rawatan kesihatan, tetapi bagi pesakit antarabangsa mereka tahu kos kita jauh lebih rendah.

“Perkara ini menjadi pemang­kin peningkatan pelancong kesi­hatan saban tahun sehinggakan Malaysia tersenarai dalam kelompok 10 destinasi pelancongan perubatan terbaik dunia oleh Nomad Capitalist pada Mei lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika melancarkan MYMT 2026 berkata, Malaysia telah lama diiktiraf sebagai destinasi pilihan dalam pelancongan perubatan.

Katanya, pada 2024, kita merekodkan kehadiran 1.6 juta pelancong kesihatan, menjana pendapatan sebanyak RM2.72 bilion iaitu peningkatan 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Melalui MYMT ini Malaysia berpotensi menjana RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2030,” katanya.

Dr. Kuljit Singh berkata, sektor kesihatan swasta di negara ini agak kukuh sehingga pihaknya sudah pun bersedia 100 peratus untuk menerima lebih ramai pelancongan kesihatan sempena Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026.

Katanya, kehadiran pelancongan kesihatan itu bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi hospital swasta malah turut menjadi pemangkin kepada pendapatan rakyat khusus­nya di sektor pelancongan.

“Apabila mereka datang ke Malaysia mendapatkan rawatan kesihatan sudah pasti akan membawa keluarganya bersama dan ini akan menyumbang kepada sektor pelancongan apabila mereka pergi berkunjung ke destinasi menarik di dalam negara.

“Ia juga akan memberi limpahan manfaat kepada syarikat penerbangan, hotel, perkhidmatan pengangkutan awam dan komuniti tempatan,” katanya.

Mengenai kekurangan doktor dan jururawat di sektor swasta, Dr. Kuljit Singh berkata, hospital swasta mempunyai tenaga pakar mencukupi namun terdapat kekurangan jururawat pada masa-masa tertentu.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menjejaskan operasi hospital swasta memandangkan kebanyakan mereka sudah mempunyai sistem bagi mengatasi masalah sekiranya berlaku peningkatan mendadak kehadiran pesakit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN