BACHOK: Seorang pemilik chalet kerugian lebih RM100,000 selepas rumahnya dan empat unit chalet musnah dalam kebakaran di Kampung Pulau Belongan di sini, semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu disedari seorang pekerja binaan yang berusia lingkungan 40-an selepas melihat api marak di bahagian depan rumahnya.
Pemilik chalet, Abdullah Mohamed, 67, berkata, dia sempat menendang pintu rumah dan mencapai kunci kereta jenis Proton Saga BLM dan memandu keluar untuk menyelamatkan diri.
Katanya, dia bagaimanapun tidak sempat mengambil wang simpanan sebanyak RM15,000 yang disimpan di dalam beg di dalam rumah.
“Meskipun kerugian hampir RM100,000 apabila rumah dan chalet terbakar, saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Pulau Belongan.
Abdullah berkata, dia mengesyaki kebakaran berpunca daripada litar pintas kerana sistem pendawaian di rumah dan chalet itu sudah berusia lebih 30 tahun.
Menurutnya, hanya dua daripada enam buah chalet tidak musnah dijilat api dalam kejadian itu.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Mohd. Zamizi Mohamad berkata, anggota bomba mengawal api yang marak membakar dua buah rumah dan empat chalet dalam tempoh 30 minit. – UTUSAN











