Ija dan adik dipenjara sebulan, denda RM1,500

Padah laporan palsu: Ija dan adik dipenjara sebulan, denda RM1,500

TENGKU Nizaruddin Tengku Zainudin (tengah) dan Tengku Abdul Aziz (belakang) dituduh membuat palsu dibawa ke Mahkamah Majistret Muar, Johor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adiknya, Tengku Abdul Aziz dipenjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu tentang kehilangan lelaki itu di Sungai Tui, Bukit Kepong pada 14 Julai lalu.

Majistret Suzana Mokhtar memerintahkan hukuman penjara Tengku Nizaruddin atau lebih dikenali sebagai Ija dan Tengku Abdul Aziz berkuat kuasa serta-merta dan ditambah tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut. Namun, kedua-duanya membayar denda berkenaan.

Tengku Nizaruddin ketika diberi peluang mengemukakan rayuan pula berkata, dia akan memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak susulan tindakannya itu.

“Saya sudah menyesal dengan tindakan dibuat dan saya tak nak (dihukum) penjara. Isteri saya sedang hamil enam bulan,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Tengku Nizaruddin, 38, didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan iaitu mengarahkan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, memberi maklumat palsu kepada seorang anggota polis tentang kehilangannya selepas gagal dihubungi sejak pukul 4 petang, 14 Julai lalu.

Tengku Abdul Aziz pula didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberi maklumat palsu kepada anggota polis berkaitan kehilangan Tengku Nizaruddin yang gagal dihubungi pada masa dan tarikh yang sama di Balai Polis Lenga, 15 Julai lalu 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd. Piah, manakala dua beradik itu diwakili peguam bela, Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada 15 Julai lalu, polis menerima panggilan telefon berkaitan penemuan kereta Perodua Axia berwarna putih dipercayai dipandu Tengku Nizaruddin di dalam Sungai Tui di kawasan kebun sawit Bukit Kepong, dekat sini sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Perbuatan berkenaan terbongkar apabila hasil siasatan mendapati dua beradik itu bergerak berasingan dan tertuduh ke arah Pagoh selain terdapat rekod pergerakannya dalam sistem Jabatan Imigresen dan tiket penerbangan ke Hat Yai bertarikh 17 Julai.

Namun pada 19 Julai, Tengku Nizaruddin menyerah diri di Balai Polis Lenga dan mengaku membuat laporan palsu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×