Kematian adalah peristiwa menyedihkan, terutama melibatkan insan-insan yang rapat seperti ahli keluarga, pasangan, ibu bapa dan anak-anak.
Tetapi banyak hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya.
Ini termasuk, mengingatkan kita segala yang dimiliki di dunia ini hanyalah pinjaman daripada Allah SWT.
Apabila individu melihat kematian dengan iman maka hati akan belajar reda dan menerima.
Kehilangan memeritkan, tetapi ramai yang berubah menjadi lebih baik, lebih tabah dan lebih dekat kepada Allah SWT.
Minggu ini, saya kongsikan kisah seorang isteri, Sally (bukan nama sebenar) yang pernah bertahun-tahun hidup dengan suami kedekut dan kehidupannya berubah selepas pemergian lelaki itu.
Kisah Sally dikongsikan oleh kakaknya sendiri, Maria (bukan nama sebenar) yang saya temui baru-baru ini.
Menurut Maria, dia tidak berniat untuk bercerita perihal keluarga sendiri, apalagi adik iparnya itu telah meninggal dunia.
Namun, Maria lebih melihat kepada hikmah dan pengajaran daripada kisah itu.
“ Bukan saya tidak menghormati arwah, tetapi saya lebih melihat kepada iktibar .
“Arwah adik ipar baik. Dengan orang luar, dia mudah hulur tangan, dengan anak isteri dia berkira setiap sen. Lebih dua tahun arwah tiada, yang tinggal hanya kenangan dan adik pun dah reda,” kata Maria memulakan perbualan.
Kata Maria, sebelum berkahwin, adiknya seorang yang ceria dan suka bergurau.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata berusia 17, 15 dan 10 tahun.
“Sepanjang tempoh mereka berkahwin selama 18 tahun, adik tidak pernah bercerita tentang perihal rumah tangga,
“Di depan keluarga, ibu ayah, adik tetap tersenyum. Tetapi saya tahu apa yang dilalui.
“Adik memang rapat dengan saya. Hanya selepas berkahwin, dia lebih memberi tumpuan kepada rumah tangga. Dia tidak pernah bercerita tentang rumah tangga apalagi keburukan suaminya,” ujar Maria.
Rahsia rumah tangga Sally akhirnya terbongkar apabila memasuki usia tujuh tahun perkahwinan, hampir setiap bulan dia datang meminjam wang.
Bukan untuk keperluan peribadi, tetapi untuk membeli makanan dan perbelanjaan sekolah anak-anak.
Kata Maria, sebagai seorang kakak dia sangat sedih dengan kehidupan yang terpaksa dilalui adiknya itu.
“Setiap kali itulah saya jadi sebak. Bayangkan, adik mempunyai suami yang berkerjaya tetap, tetapi duit dapur dan keperluan persekolahan anak-anak tidak pernah cukup.
RANJAU PERKAHWINAN
Semasa arwah hidup, kehidupan Sally tidak seindah mana.
Setiap bulan, nafkah yang dihulur cukup-cukup sahaja. Jika Sally meminta lebih untuk perbelanjaan dapur dan persekolahan anak-anak, arwah suami mula bising.
Paling menyedihkan, suaminya lebih mementingkan hobi menunggang motosikal.
Suaminya lebih banyak menghabiskan wang untuk aksesori dan hobinya di hujung minggu.
Cerita Maria, adiknya bertahan dalam rumah tangga kerana anak-anak.
Dia menelan segala kepahitan kerana enggan anak-anak membesar tanpa seorang bapa.
Sehinggalah pada pertengahan Disember 2023, adik diuji dengan kehilangan suami.
Suaminya terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menyertai konvoi motosikal dan tidak dapat diselamatkan.
Pemergian suami mengubah segalanya.
Adiknya tiada lagi tempat bergantung, namun di situlah juga bermula satu lembaran hidup baharu kepadanya.
“Sepanjang jenazah diuruskan adik cukup bersedih namun kelihatan tenang daripada biasa.
“ Saya percaya adik kuat dan menerima ketentuan Allah SWT dengan reda,” ujarnya.
Kata Maria, selepas pemergian adik ipar, dia dan suami memikul amanah menguruskan segala hal berkaitan harta peninggalan arwah.
Bukan mudah. Lebih-lebih lagi aset seperti rumah dan kenderaan tidak ditukar nama.
URUSKAN HARTA
Menurut Maria, dia menyangka episod duka adiknya akan berakhir.
Adik-beradik arwah yang sebelum ini jarang datang, tiba-tiba datang menuntut bahagian.
“Ada yang baik datang berbincang, ada yang tidak sabar marah-marah. Sebagai wakil keluarga saya dan suami ajak berbincang. Alhamdulilah, selepas dirujuk kepada pihak yang lebih arif, jalan penyelesaian ditemui,” cerita Maria.
Kata Maria, mereka mula faham bukan semuanya boleh dituntut.
Ada bahagiannya untuk isteri, anak-anak.
Kehidupan adiknya berubah selepas itu. Wang simpanan arwah suaminya diserahkan kepada adik dan anak-anak.
Rumah, dan aset lain seperti kenderaan telah dihibahkan untuk adik dan anak-anaknya.
Menurut Maria, adiknya menggunakan harta peninggalan arwah suami dengan sebaiknya.
Selain untuk pendidikan anak-anak, adiknya berusaha untuk mengembangkan lagi perniagaan mengambil tempahan membuat kuih-muih.
“Selepas dua tahun pemergian suami, saya melihat adik semakin berdikari. Jika selama ini dia terlalu bergantung kepada arwah, kini, segala-gala diuruskan sendiri.
“Hidup adik memang sunyi tanpa suami, tetapi saya melihat kembali diri adik yang lebih gembira dan ceria. Saya percaya,, Allah telah membuka jalan kepadanya untuk bahagia selepas ujian panjang yang dilalui,” ujarnya.
Tambah Maria, daripada kisah adiknya dia belajar dan mahu orang lain juga mengambil iktibar.
“Allah tidak terus memberi bahagia semasa pasangan masih hidup. Kadangkala rasa bahagia itu datang selepas perpisahan yang tidak dijangka, walaupun datang bersama air mata.
“Adik kehilangan suami, tetapi Allah gantikan dengan kehidupan yang lebih lapang, rezeki yang lebih luas dan hati yang lebih kental,” ujarnya.
Dalam Al Quran sendiri menyebut kematian adalah kepastian yang tidak dapat dihindari oleh sesiapa pun, di mana pun mereka berada bahkan di balik benteng yang paling kukuh sekalipun.
“Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh,”-Surah An-Nisa ayat 78)-UTUSAN









