MELAKA: Transformasi dalam sektor pertanian perlu dilakukan bagi meningkatkan penyertaan belia, sekali gus mengurangkan kebergantungan yang tinggi terhadap warga emas di Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, berdasarkan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Melaka, sebanyak 55.3 peratus pengusaha pertanian ialah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.
Beliau berkata, peratusan itu jauh lebih tinggi berbanding penyertaan belia iaitu hanya 10.1 peratus.
“Kita berdepan cabaran serius yang mana 55.3 peratus pengusaha pertanian adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas manakala penglibatan belia sangat rendah iaitu hanya 10.1 peratus. Melihat kepada bancian ini kerajaan negeri komited melakukan transformasi pertanian.
“Penglibatan belia akan diperluas melalui program pertanian pintar dan latihan kemahiran. Selain itu, mengukuhkan pemusatan tanah supaya pengusaha kecil dapat menikmati skala ekonomi lebih baik dan memperkasa penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan hasil serta daya saing,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Melaka di sini, hari ini.
Ab. Rauf berkata, Jabatan Pertanian memaklumkan, lebih 14,000 penggiat pertanian di Melaka telah berdaftar merangkumi pelbagai sub-sektor termasuk agro makanan, penternakan, perikanan, akuakultur, pemasaran hasil tani, getah dan kelapa sawit.
Katanya, Melaka merekodkan 13,824 pegangan pertanian dengan 94.2 peratus atau 13,022 pegangan dikendalikan oleh individu manakala selebihnya diuruskan oleh pertubuhan atau syarikat.
“Nilai jualan keseluruhan sektor pertanian di Melaka mencecah RM3.6 bilion. Angka tersebut membuktikan kekuatan sektor ini dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya. – UTUSAN











