PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan pihaknya menjadi punca kelewatan dalam proses pensijilan halal Malaysia (SPHM) melibatkan sebuah syarikat katering yang menerima kontrak bernilai RM25.64 juta di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, isu tersebut berlaku akibat salah faham berkaitan Pegawai Bertanggungjawab (PIC) bagi permohonan sijil halal tersebut yang sebenarnya bukan dari Jakim, sebaliknya dari pihak syarikat berkenaan.
“Difahamkan, PIC yang dilantik syarikat ketika itu sedang bercuti bersalin dan pihak syarikat telah mencalonkan pengganti baharu yang memerlukan latihan sebelum dapat menjalankan tanggungjawab sebagai Eksekutif Halal.
“Justeru, tidak timbul isu kelewatan dari pihak Jakim seperti yang dilaporkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 sebelum ini mendedahkan, HCTM telah menganugerahkan kontrak perkhidmatan katering selama tiga tahun bernilai RM25.64 juta kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki sijil halal daripada Jakim.
Menurut laporan itu, syarikat terbabit yang dikenal pasti sebagai 0267299-T telah memperoleh tender bagi membekalkan makanan kepada pesakit di HCTM bagi tempoh antara Februari 2024 hingga Februari 2027.
Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, Jakim kekal komited memastikan setiap aspek pengurusan SPHM dilaksanakan secara telus dan berintegriti berlandaskan piawaian yang ditetapkan.
“Langkah ini selaras dengan prinsip tadbir urus baik dan amanah dalam kerangka Malaysia Madani yang menekankan kebertanggungjawaban serta ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Menurutnya, HCTM turut menyatakan komitmen untuk terus mematuhi semua keperluan dan prosedur pensijilan halal demi kemaslahatan ummah.
Beliau berkata, Jakim sentiasa bersedia memberikan penjelasan lanjut kepada mana-mana pihak yang memerlukan maklumat berhubung SPHM.
“Pendekatan inklusif ini adalah sebahagian usaha mendidik dan memperkasa pematuhan halal di semua peringkat serta menyokong aspirasi kerajaan dalam membentuk masyarakat berpengetahuan dan bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN










