Himpunan 'Turun Anwar' bukti pembangkang ketandusan idea

Himpunan ‘Turun Anwar’ bukti pembangkang ketandusan idea

MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangkang dilihat semakin ketandusan idea dan berada dalam keadaan bercelaru apabila gagal mengemukakan tawaran jelas sebagai solusi terhadap apa yang mereka dakwa sebagai kemelut negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, mereka terus menggunakan slogan ‘Turun Anwar’ sebagai modal utama tanpa sebarang cadangan alternatif terhadap dasar-dasar kerajaan yang sedang dilaksanakan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, walaupun angka dan laporan semasa menunjukkan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi yang konsisten, pembangkang tetap meneruskan tohmahan kononnya kerajaan gagal mengurus ekonomi negara.

“Pertumbuhan ekonomi, kadar inflasi, pengangguran dan jumlah pelaburan diketepikan begitu sahaja kerana kebencian dan ketamakan kuasa.

“Ini bukti nyata kegagalan mereka berhujah secara berfakta, mengolah dasar serta mengemukakan cadangan membina terhadap pelbagai inisiatif baik yang sedang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di laman X, semalam.

Tambah beliau, ketika kepemimpinan negara berusaha keras membangunkan semula negara, pembangkang pula memilih jalan perpecahan dan politik adu domba.

“Malah, hingga kini mereka masih gagal menamakan siapa calon yang mahu diangkat bagi menggantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jawapan mereka tetap sama – celaru, keliru dan haru,” katanya.

Menurut Muhammad Kamil, prinsip kebebasan termasuk kebebasan berhimpun secara aman sentiasa dijunjung tinggi di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Beliau berkata, Perdana Menteri sendiri telah memberi jaminan bahawa tiada sebarang intimidasi daripada pihak berkuasa terhadap penganjur himpunan.

“Namun jika demonstrasi ini digerakkan semata-mata atas dasar kebencian peribadi terhadap Anwar, maka ia membuktikan betapa lemah, dangkal dan longlainya pendekatan politik pembangkang dalam berdepan dengan kecekapan kerajaan menterjemah kehendak rakyat ketika ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN